Selasa, 26 Januari 2016 | 10:11pm

Brazil kerah 200,000 askar perangi virus Zika

PEKERJA tempatan memakai kelengkapan untuk membasmi nyamuk pembawa virus Zika di Sambadrome, Rio de Janeiro, Brazil sebelum berlangsungnya Karnival Perarakan Rio, pada 5 Februari depan. - Foto EPA
PEKERJA tempatan memakai kelengkapan untuk membasmi nyamuk pembawa virus Zika di Sambadrome, Rio de Janeiro, Brazil sebelum berlangsungnya Karnival Perarakan Rio, pada 5 Februari depan. - Foto EPA

RIO DE JANEIRO: Brazil menghantar lebih 200,000 anggota tentera untuk pergi dari 'rumah ke rumah' dalam perjuangan membasmi nyamuk pembawa virus Zika.

Menurut Menteri Kesihatan, Marcelo Castro, pihak tentera akan mengunjungi setiap rumah di Brazil, mengedarkan risalah dan nasihat.

Kerajaan semakin tertekan bagi menangani krisis itu, turut mengedarkan penyembur serangga kepada sekurang-kurangnya 400,000 wanita hamil.

Virus itu dikaitkan dengan kecacatan kelahiran serius termasuk mikrosefali, di mana bayi dilahirkan wanita dijangkiti Zika ketika hamil, memiliki otak kecil.

Tindakan itu diambil ketika Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, virus itu yang disyaki menyebabkan kerosakan menakutkan ke atas otak bayi, akan tersebar ke seluruh negara di benua Amerika kecuali Kanada dan Chile.

"Siasatan kami menjurus untuk membangunkan ujian lebih baik berkaitan penyebaran ketika hamil penyakit itu dan memahami bagaimana virus terbabit menjejaskan bayi dalam kandungan," kata seorang jurucakap WHO.

Peningkatan insiden di seluruh Amerika Latin terutama di Brazil, menyebabkan Amerika Syarikat dan kerajaan negara lain memberi amaran kepada wanita supaya tidak mengunjungi rantau itu, dan prospek membahayakan buat Brazil ketika ia giat membuat persiapan menyambut Sukan Olimpik pada Ogos ini.

Kes virus itu juga ditemui di Eropah, dengan tiga kes di Great Britain, Itali (4) dan dua di rantau Catalonia, Sepanyol. Pelancong British mendapat virus itu selepas digigit nyamuk ketika melawat Colombia, Suriname dan Guyana.

Semua kes ditemui di Eropah berlaku di kalangan individu yang baharu kembali mengunjungi Amerika Latin atau Caribbean.

Pakar percaya penyakit itu berpotensi merebak dalam Itali oleh nyamuk Aedes albopictus, walaupun ia satu ketika dulu berasal dari Asia, serangga itu kini ditemui secara meluas di selatan Eropah.

"Penyakit ini mungkin dibawa nyamuk harimau. Pesakit dijangkiti ketika itu digigit nyamuk harimau dan virus Chikungunya disebarkan kepada lebih 200 orang," kata Fabrizio Pregliasco, seorang pakar virologi di Universiti Milan kepada akhbar La Repubblica. - Agensi

Berita Harian X