Isnin, 25 Januari 2016 | 1:21pm

Pengurus didenda beri rasuah renjer hutan

KUANTAN: Seorang pengurus syarikat pembalakan didenda RM20,000 selepas mengaku bersalah memberi rasuah RM10,000 kepada renjer hutan bagi mengelak dikenakan tindakan kerana memindah dan mengeluarkan kayu balak.

Pee Hong Seng, 40, membuat pengakuan itu di Mahkamah Sesyen 2, di sini, hari ini, selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Habibah Mohamed Yusof.

Mengikut kertas pertuduhan, beliau didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 6 petang di Bilik 106, Hotel Inderapura Jerantut, Pahang, pada 22 Oktober tahun lalu.

Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Shafinas Shabudin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berita Harian X