Ahad, 24 Januari 2016 | 3:51pm

Sultan Ibrahim bersantap dengan rakyat India di Renggam

SULTAN Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, bersama Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia Johor dan Adun Kahang, R' Vidyananthan (empat dari kanan duduk) dan Setiausaha Kuil Sri Murugan Hindu Semajam Renggam, Ganesh Govindasamy (empat dari kiri duduk) mencemar duli hadir pada Majlis Santapan tengah hari Sempena Perayaan Thaipusam, di Dewan Kuil Sri Murugan Hindu Semajam Renggam, Kluang. - Foto Mohd Azren Jamaludin
SULTAN Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, bersama Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia Johor dan Adun Kahang, R' Vidyananthan (empat dari kanan duduk) dan Setiausaha Kuil Sri Murugan Hindu Semajam Renggam, Ganesh Govindasamy (empat dari kiri duduk) mencemar duli hadir pada Majlis Santapan tengah hari Sempena Perayaan Thaipusam, di Dewan Kuil Sri Murugan Hindu Semajam Renggam, Kluang. - Foto Mohd Azren Jamaludin

KLUANG: Sambutan Thaipusam, hari ini cukup bermakna bagi penganut Hindu di Renggam dengan kehadiran Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

Ketibaan baginda pada kira-kira jam 12.18 tengah hari di Kuil Hindu Samajam Sri Murugan, Jalan Layang Layang, Renggam, disambut penduduk dengan laungan 'Daulat Tuanku'.

Baginda berkenan mencemar duli bersantap tengah hari dan meluangkan masa lebih sejam, sambil bermesra dengan lebih kurang 3,000 penduduk Renggam.

Sultan Ibrahim yang menaiki kenderaan rasmi, diiringi Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia negeri, R Vidyananthan serta Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd Mutalip Abd Rahim.

Pada majlis itu, baginda turut dihiburkan dengan tarian 'Kolladtam' iaitu tarian masyarakat India yang lazimnya dipersembahkan kepada tetamu terhormat.

Seorang bekas pekerja swasta, V Subramaniam, 62, berkata beliau teruja dan bangga kerana buat kali pertama berpeluang melihat wajah Sultan Ibrahim dari dekat.

"Dua perkara yang menggembirakan saya hari ini iaitu dapat bertemu dengan Sultan Johor dan juga menyempurnakan nazar cukur rambut apabila cucu lelaki saya mendapat keputusaan 5A dalam peperiksaan akhir tahun, baru-baru ini," katanya.

Beliau berkata, kunjungan Sultan Ibrahim ke perayaan Thaipusam cukup bermakna buat semua penganut Hindu dan masyarakat setempat.

"Ini membuktikan baginda prihatin dan berjiwa rakyat," katanya.

Norlia Mohammad, 47, berkata kehadiran Sultan Ibrahim ke Pekan Renggam bagi sambutan perayaan itu turut menceriakan suasana pekan itu.

Bagi Norlia, sudah menjadi satu kemestian baginya dan keluarga setiap tahun keluar seawal jam pagi 7 pagi untuk melihat perarakan kabadi sempena perayaan Thaipusam di kuil berkenaan.

Norlia, suri rumah sepenuh masa itu berkata, beliau bangga menjadi rakyat Malaysia kerana perbezaan bangsa dan agama bukan halangan untuk semua orang menjadi kawan.

"Saya bukan hanya mempunyai rakan penganut Hindu tetapi juga anutan lain agama dan hubungan kami rapat bagaikan sebuah keluarga besar," katanya.

Haur Eng Ka, 44, berkata, setiap tahun beliau dan rakan akan berkumpul di hadapan kuil itu bagi melihat pesta warna-warni sambutan Thaipusam.

"Setiap tahun, pagi-pagi saya dan rakan akan datang ke sini...kita semua kawan tidak kira Melayu, Cina atau India," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X