Sabtu, 23 Januari 2016 | 12:02am
DEKORASI Restoran Istana Bambu di Ulu Klang, Ampang. - Foto Aziah Azmee
Deep Fried Fish Kerabu Mango Restoran Istana Bambu di Ulu Klang, Ampang. - Foto Aziah Azmee

Ketam pedas manis, ikan goreng kerabu di Istana Bambu


RESTORAN berkonsep kekeluargaan dengan binaan dan perabot buluh sesuai untuk menjamu selera seisi keluarga.

MAKAN dalam suasana kampung di restoran terletak di tengah bandar bukan perkara asing, tetapi menjamu selera bertemankan landskap sawah padi, kolam dipenuhi teratai malah di bawah wakaf berdinding buluh beratapkan lalang dan rumbia, diakui payah dicari.

Desakan untuk kembali ke alam semula jadi menyebabkan ramai pengusaha restoran mencari formula mempersembahkan elemen gaya hidup kampung namun hanya kesungguhan selain perancangan teliti berupaya menentukan kejayaan sebagaimana dikecapi Restoran Istana Bambu (RIB).

Restoran terletak di Lebuh Raya Lingkaran Tengah Dua (MRR2), di Jalan Hulu Klang, Ampang menyajikan hampir 70 menu masakan Barat, Thailand, Cina dan Arab tetapi selera kampung kekal mengungguli senarai menu pilihan utama.

Pengurus RIB, Rohaida Abd Rahim, berkata bertunjangkan konsep kekeluargaan, restorannya mempertaruhkan binaan dan perabot buluh sepenuhnya termasuk gazebo dan wakaf untuk duduk bersila turut menggamit pelancong asing yang ingin mendekati kehidupan desa makan di situ.

"Restoran ini merintis kelainan menerusi struktur binaan dan kelengkapan buluh, kolam teratai dan beberapa petak sawah padi yang menghiasi penjuru halaman restoran.

"Sawah itu ada musim padi menguning dan biasanya berlaku setiap Januari," katanya.


DEKORASI di dalam Restoran Istana Bambu di Ulu Klang, Ampang. - Foto Aziah Azmee


Menu Spicy Crab Mango Restoran Istana Bambu di Ulu Klang, Ampang. - Foto Aziah Azmee

Ketam pedas manis

Rohaida berkata, pelanggan RIB pasti tidak melepaskan peluang menjamah hidangan eksklusif seperti ikan goreng kerabu mangga, ketam masak pedas manis, asam pedas dengan pilihan ikan pari, kembung dan tenggiri, daging goreng rangup termasuk sajian utama popularnya, sotong telur masin dan udang berkeju.

Sotong telur masin disifatkan istimewa kerana lazimnya hanya sotong digoreng dan rasanya tidak masin, sebaliknya berasa lemak dan enak dimakan bersama nasi.

"Tambah enak kalau dicicah bersama sos dan diratah begitu saja," katanya.

Ikan goreng kerabu mangga dimasak tiga rasa menyajikan kelainan menerusi kelazatan ikan rangup dijamah bersama kerabu mangga yang melahirkan percikan rasa masam manis.

"Saya ibaratkan ia sebagai menu dua dalam satu. Pelanggan menikmati ikan goreng rangup namun pada masa sama, merasai masam manis kerabu itu yang menyedapkan sajian.

"Bagi memastikan ikan kekal garing, kerabu ditabur menyeluruh di atas ikan. Pelanggan boleh asingkan kerabu dan ikan apabila hendak menjamahnya nanti," katanya.

Satu lagi menu istimewa adalah ketam masak pedas manis dan daging salai masak lemak turut.

"Kuahnya nampak merah tetapi tidak pedas. Dengan isinya yang manis, ia jadi kegemaran mereka yang kurang gemar makanan terlalu pedas. Harga juga berpatutan iaitu RM 52 bagi sepinggan kecil mengandungi tiga ketam manakala pinggan besar enam ekor ketam, harganya cuma RM84," kata Rohaida.


Rohaida Abd Rahim menunjukkan menu di restorannya di Ulu Klang, Ampang. - Foto Aziah Azmee

Pakej air tangan bonda

Selain sajian tetap, RIB menyediakan khidmat tempahan katering termasuk paling digemari pelanggan pakej Air Tangan Ibu yang menyenaraikan menu seperti gulai ikan patin masak lemak tempoyak, paru berlada, asam pedas pari, laksa, ulam-ulaman serta pencuci mulut bersama pilihan teh atau kopi untuk membasahkan tekak.

Pakej itu hanya ditawarkan pada hari biasa dengan tempahan minimum 30 orang.

Turut ditawarkan pakej perkahwinan dengan tempahan minimum 100 orang.

Menu dalam pakej ini adalah nasi minyak istana, nasi putih bambu, ayam goreng berempah nusantara, dalca sayur seri di samping menu pelengkap berupa kuih-muih, minuman cendol serta fruit punch menjadikan pakej ini laris dalam kalangan pelanggan.

Lain-lain menu diakui memikat selera dan kehendak pelanggan termasuk daging salai masak lemak, kambing golek, sambal petai, kerabu tong hoon, kerabu kaki ayam hingga pilihan sup, sayuran dan pencuci mulut seperti sup rumpai laut dan bebola ikan, sup hirisan ketam dan jagung manis, sayur brokoli dengan campuran cendawan, asparagus bersama belacan, sayur kailan dengan limpahan sos tiram, sagu gula kabung, pulut mangga, puding roti mentega dan sebagainya.

Berita Harian X