Rabu, 20 Januari 2016 | 11:41pm

Bubar DUN formula terbaik tangani kemelut Mukhriz - PAS Kedah

PESURUHJAYA PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi.
PESURUHJAYA PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi.

ALOR SETAR: Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi mencadangkan supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dibubarkan sebagai jalan penyelesaian kemelut Menteri Besar Kedah ketika ini.

Beliau berkata, kenyataan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, yang mendakwa kononnya seluruh kepimpinan parti itu hilang kepercayaan terhadap Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO dan Menteri Besar; adalah kemuncak perpecahan parti yang tidak dapat disembunyikan lagi.

Katanya, dakwaan Ahmad Bashah mengenai kegagalan Mukhriz dalam urus tadbir negeri tidak harus dipertanggungkan ke atas beliau semata-mata.

"Mandat yang diberikan oleh rakyat terhadap BN dahulu adalah kerana penonjolan Mukhriz sebagai calon menteri besar, maka adalah lebih wajar mandat itu dipulangkan kembali kepada rakyat untuk membuat keputusan terbaharu.

"PAS Kedah menyarankan Mukhriz selaku menteri besar yang sah supaya menghadap Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah untuk menasihatkan pembubaran Dewan Undangan Negeri

"Ia adalah formula terbaik untuk menghadapi kemelut yang berlaku," katanya, di sini.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X