Selasa, 14 Oktober 2014 | 11:43pm

Perahu layar Terbuka Johor KFC-FELDA dapat sambutan hangat

KUALA LUMPUR: Kejohanan Perahu Layar KFC-FELDA Terbuka Johor 2014 pada 17 hingga 19 Oktober ini di Pantai Tanjung Leman, Johor setakat ini mendapat penyertaan hampir dua kali ganda berbanding tahun lalu.

Presiden Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA) Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata penganjur sehinggga kini menerima 155 penyertaan dan permohonan masih dibuka kepada kelab dan persatuan sehingga hujung minggu ini.

"Kejayaan penganjuran tahun lalu berhasil menarik minat lebih ramai peserta daripada pelbagai kelab untuk menyertai edisi kali ini," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Kejohanan itu yang dianjurkan Persatuan Pelayaran Johor dengan kerjasama Johor Corporation menerima sambutan mengalakkan dari 15 persatuan dan kelab di seluruh Malaysia.

Empat kategori utama yang dipertandingkan ialah Optimist, Laser, International 420 dan Windsurfing.

Kejohanan itu adalah sirkit kelapan dari 12 sirkit sepanjang tahun 2014 yang diiktiraf oleh MSA dalam menentukan ranking atlet perahu layar kebangsaan dan dicatatkan dalam Kalendar Pelayaran MSA.

Untuk rekod, kejohanan itu berjaya melahirkan atlet negara, Nuraisyah Jamil, yang meraih pingat perak dalam acara perahu layar kategori International 420 wanita di Sukan Asia Incheon baru-baru ini. - BERNAMA

13 dibaca
Berita Harian X