Rabu, 20 Januari 2016 | 4:53pm

Saham Asia jatuh ke paras terendah empat tahun

SYDNEY: Pasaran saham Asia jatuh ke paras terendah empat tahun baharu petang ini susulan kejatuhan lanjut harga minyak memadamkan cubaan rali pada Wall Street, dan memberikan pukulan lanjut kepada selera pelabur global bagi aset yang lebih berisiko.

Saham Eropah dijangka jatuh ketara pada pembukaan hari ini dengan jangkaan FTSE 100 akan dibuka dua peratus lebih rendah, DAX Jerman 2.4 peratus lebih rendah dan CAC Perancis dijangka susut 2.2 hingga 2.4 peratus.

Minyak mentah AS jatuh ke paras terendah sejak 2003 selepas badan pemantau tenaga memeberi amaran pasaran akan "lemas dalam lebihan bekalan."

Dagangan hadapan minyak AS susut hampir tiga peratus kepada AS$27.68 manakala Brent jatuh dua peratus kepada AS$28.21 satu tong.

Di Asia, kebanyakan saham jatuh berbanding kenaikan pada Selasa dengan indeks meluas MSCI merangkumi saham Asia Pasifik kecuali Jepun jatuh 2.6 peratus dan mencecah paras terendah sejak Oktober 2011.

"Sentimen kelihatan begitu negatif dalam komoditi buat masa ini," kata Assad Tannous, ketua pedagang di Asenna Wealth Solutions di Sydney.

Menerajui kejatuhan saham ialah pasaran saham Hong Kong dengan indeks penanda aras jatuh 3.7 peratus, kejatuhan harian terbesar sejak awal Ogos, dengan semua 50 konstituen jatuh.

Indeks Nikkei ditutup susut 3.7 peratus, berada 20 peratus di bawah paras puncak tahun lalu, memenuhi definisi teknikal pasaran bearis.

Kesan juga dirasai pada saham Australia yang jatuh 1.3 peratus dan Korea Selatan susut 2.3 peratus.

Pasaran China mencatat prestasi yang lebih baik sedikit berbanding pasaran serantau di tengah tengah berita rangsangan baharu akan diperkenalkan kerajaan sebelum Tahun Baru Cina pada awal Februari.

Data pengeluaran perkilangan, pelaburan dan jualan runcit Disember kesemuanya lebih rendah daripada jangkaan.

Indeks CSI300 jatuh 1.3 peratus, selepas naik lebih tiga peratus pada Selasa. Indeks Komposit Shanghai susut 0.9 peratus. - Reuters

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X