Sabtu, 16 Januari 2016 | 6:00am

Mampukah Liverpool atasi United di Anfield?

KOLUM APA KATA

Minggu ini saya anggap antara paling dinantikan oleh peminat bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL). Bukan saja di negara kita, malah di seluruh pelusuk dunia tanpa mengira usia.

Sebabnya, tentulah kerana dua kelab gergasi EPL paling ramai penyokong tegar termasuk di Malaysia - Liverpool dan Manchester United - bakal berentap lagi dan kali ini Anfield menjadi gelanggangnya malam esok.

Pertarungan membabitkan dua seteru ini yang bermula sejak 28 April 1894 dianggap sebagai antara terbesar di dunia, setanding dengan El Clásico di Sepanyol, atau Derby della Madonnina di Itali.

Liverpool dan United sememangnya memiliki sejarah pencapaian paling hebat. Secara bersama, kedua-duanya sudah merangkul 38 kejuaraan liga, lapan kejuaraan Eropah, tiga Liga Juara-Juara, empat Piala Super, 18 Piala FA, 12 Piala Liga dan 35 Perisai Komuniti FA.

Sejarah pertemuan antara dua pasukan ini panjang, namun antara yang menarik dikongsikan adalah Liverpool tewas sebanyak 11 kali kepada United di laman sendiri, bilangan tertinggi membabitkan semua pasukan bertanding di situ dan pertandingan.

Dan kedua, baik Liverpool atau United, buat pertama kalinya sejak 2004, mereka berentap tatkala berada di luar lima pasukan teratas EPL. Ketika ini The Reds di tangga kesembilan manakala The Red Devils di tempat keenam.

Dalam pertemuan terakhir dua pasukan ini di Old Trafford pada 12 September lalu, anak buah Louis Van Gaal menjinakkan lawannya yang ketika itu dipimpin oleh Brendan Rodgers, 3-1.

Melihat prestasi semasa, kedudukan Liverpool dan United secara umumnya tidak langsung memberangsangkan.

Pada aksi terakhir liga di Anfield pada Rabu lalu, The Reds yang dipimpin Jurgen Klopp terpaksa bangkit di saat akhir untuk menyamakan kedudukan 3-3 dengan pendahulu liga Arsenal.

The Red Devils pula, turut diikat 3-3 oleh Newcastle United di St James Park untuk sekali gus meletakkan kedudukan Van Gaal terus dalam keadaan tertekan selepas hilang 13 mata daripada lima aksi terakhir.

Jadi apakah yang diharapkan daripada pertembungan dua gergasi ini malam esok? Sebagaimana lazimnya, pertembungan ini saya jangkakan bakal memercikkan suasana sengit seperti diharapkan penyokong tegar mereka.

Saya jangka Klopp ada ramuan untuk mematikan langkah anak buah Van Gaal sekali gus menebus kekalahan pada 12 September lalu. Dan begitu juga Van Gaal, tentunya ingin mengulangi pencapaian di Old Trafford dan sekali gus meneruskan cabaran menggugat Arsenal dan Leicester City di persada liga.

Sementara itu dalam aksi lain, penyandang juara Chelsea dijangka berdepan kesukaran untuk menjinakkan Everton, manakala Leicester harus tiada masalah menewaskan pasukan tercorot liga, Aston Villa.

Pendahulu liga, Arsenal rasanya mampu menundukkan Stoke City di laman lawannya itu, manakala Manchester City perlu menggunakan kesempatan beraksi di Etihad untuk terus kembali di puncak liga. Selamat menonton.

* Amirullah Andi Nur adalah Penolong Editor Sukan BH

RAMALAN MINGGU KE- ke-22

Tottenham Hotspur 3 Sunderland 0

Newcastle United 1 West Ham United 0

Chelsea 0 Everton 0

Manchester City 4 Crystal Palace 0

Bournemouth 2 Norwich City 1

Southampton 1 West Bromwich 1

Aston Villa 0 Leicester City 4

Liverpool 1 Manchester United 1

Stoke City 0 Arsenal 2

Swansea City 1 Watford 1

Berita Harian X