Khamis, 14 Januari 2016 | 11:07am

Kemenangan menakjubkan Leicester - Ranieri


PENGURUS Leicester City, Claudio Ranieri. - Foto EPA

LONDON: 'Kekal tenang dan teruskan.'

Itu mungkin menjadi moto pengurus Leicester, Claudio Ranieri bagi mengharungi musim ini selepas skuad bimbingannya kembali menyalakan pemburuan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kemenangan 1-0 ke atas Tottenham Hotspur, awal pagi tadi.

Peluang skuad The Foxes untuk menjulang trofi kejuaraan mungkin minimum, hanya dua peratus berdasarkan laporan statistik dikeluarkan Leicester Mercury, namun jaringan Robert Huth pada lewat permainan menguatkan bayangan penamat empat tempat teratas liga.

Ketika City terus gagal meledak gol untuk tiga perlawanan berturut-turut diikuti kegagalan Arsenal mensia-siakan peluang mengutip tiga mata penuh, Leicester menampilkan semangat juang tinggi di White Hart Lane.

Jaringan Huth pada minit ke-83 perlawanan itu menamatkan kemarau 374 minit Leicester tanpa gol dengan kemenangan menyaksikan kedudukan teratas liga yang dihuni Arsenal ketika ini hanya dibezakan dengan jumlah jaringan.

"Kemenangan yang menakjubkan menentang pasukan yang besar," kata Ranieri yang jelas tidak mahu terbawa-bawa dengan kejayaan pasukannya.

"Pada awal perlawanan ia amat sukar kerana Tottenham bermula dengan amat baik. Namun kami kekalkan ketenangan kami, kekalkan bentuk dan perlahan-lahan menjadi lebih baik dan mencipta beberapa peluang yang baik untuk menjaringkan gol.

"Pada babak kedua, perlawanan lebih terbuka. Kami mencipta beberapa peluang untuk menjaringkan gol, mereka juga mencipta peluang namun kami menang. Kami amat gembira.

"Begitupun, ia masih di bulan Januari, bukan Mei. Jadi masih banyak kerja yang perlu dilakukan."

Tottenham dalam pada itu kekal di kedudukan keempat liga dan dibezakan dengan tujuh mata di belakang Arsenal dan Leicester. - REUTERS

Berita Harian X