Khamis, 14 Januari 2016 | 12:03am
MOHD Syafiq Mohd Syah puas hati dengan jenahak tangkapannya.
MOHD Syafiq Mohd Syah puas hati dengan jenahak tangkapannya.

Pesta jenahak Tiang Garuda

Sebahagian anggota kumpulan Golden Huntsman menunjukkan tangkapan dari lubuk Tiang Garuda.
Sebahagian anggota kumpulan Golden Huntsman menunjukkan tangkapan dari lubuk Tiang Garuda.

PELABUHAN KLANG: Cari sotong kurita sebagai umpan jika mahu memancing jenahak bantal emas di One Phantom Bank di sini, kerana umpan hirisan ikan atau udang pasar sekadar membuatkan pemancing pulang tangan kosong

"Ikan di lubuk ini "cerdik" dan memilih umpan," kata Nadhil Putra Alam Shah atau lebih dikenali dengan gelaran Tekong Kubis kepada mereka yang kali pertama turun memancing di perairan Pelabuhan Klang.

Pengalaman beberapa kali membawa pemancing ke lubuk pilihan, Tiang Garuda (sempena bangkai kapal karam dari Indonesia) ditenggelamkan, banyak ikan gred A seperti jenahak, kerapu dan temerih (ibu kerisi) "berkampung" di situ.

"Jika ingin mengesan kedudukan lubuk berkenaan, kita kena tahu di mana Tebing Selatan iaitu sempadan Malaysia-Indonesia. Kedalaman air sekitar 50 hingga 110 meter dan berlatarbelakangkan rumah api One Phantom Bank.

"Jika umpan diragut ikan, biarkan seketika dan apabila sah sudah ditelan, barulah sentap. Biasanya tiga atau lima minit pertama, ikan akan menggelupur dan mengasak rakus dalam usaha melarikan diri. Jangan gopoh, layan baik-baik dan pasti sistem drag kekili 30 peratus diketatkan.

"Jangan sesekali menaikkan joran ketika ikan melarikan diri, tersilap langkah boleh patah joran. Apa yang perlu dilakukan ialah ketatkan sedikit demi sedikit sistem drag kekili. Apabila berasakan ikan seakan-akan lemah, kita karau tali ke gelendung dan jika ikan cuba menarik tali, jangan melawan.

"Kita bertahan kerana ikan berhenti bergerak apabila kepenatan, maka segera karau tali. Sebelum itu, kita kena tahu kekuatan tali yang digunakan, seeloknya 40 hingga 50 paun tali utama dan perambut 60 paun," nasihat Nadhil kepada pemancing yang mahu mengadu nasib di perairan Pelabuhan Klang.

GENG Golden Huntsman menunjukkan hasil tangkap di Lubuk Tiang Garuda.
GENG Golden Huntsman menunjukkan hasil tangkap di Lubuk Tiang Garuda.

Puluhan jenahak, kerapu dijinakkan

Kunjungannya bersama-sama kumpulan Golden Huntsman terdiri daripada Mohd Jani Khamis (Jani Union), Syamil Sazili (Syamil Lawyer), Mohd Syafiq Mohd Syah dan Mohd Elmi Saihudin ternyata berbaloi apabila puluhan jenahak dan kerapu berjaya didaratkan.

"Walaupun kami turun seharian dari jam 8 pagi hingga 7 malam, nyata masing-masing tidak menang tangan melayan joran Xpuyu, Viper Venom PE1-3, RFT PE 1-3, Ofmer Pesca Grande dan Tenryu Horizon SL membentuk huruf C setiap kali ditarik ikan.

"Bunyi kekili Seahawk, Ford Ryojin 3000, Omoto Talos, Bossna Pitbull SW2000 dan Ocea Jigger Limited yang bersilih ganti bagaikan satu pesta. Ditambah pula keriuhan suara rakan yang bersorak setiap kali ikan yang tersangkut di mata kail berjaya dinaikkan ke dalam bot," katanya.

Nadhil berkata, Mohd Jani membuka tirai apabila joran Viper Venom yang berpasangan dengan kekili Ford Ryojin 3000 miliknya menerima henjutan kuat, selepas bertarung hampir tujuh minit, sekali gus menewaskan seekor jenahak seberat enam kilogram (kg).

"Selang dua minit, giliran Syamil Sazili, apa lagi kelam-kabut dibuatnya. Hampir lapan minit dia melayan aksi ganas bantal emas berkenaan, sebelum berjaya menundukkannya.

"Mohd Syafiq juga tidak mahu mengalah apabila Joran Ofmer Pesca Grande miliknya diasak jenahak. Saiznya sama seperti ikan yang ditewaskan Mohd Jani, apa lagi, senyum sakan mereka sepanjang di One Phantom Bank," katanya.

SYAMIL Sazili (depan) dan Mohd Jani Khamis bersama ikan jenahak yang berjaya dinaikkan.
SYAMIL Sazili (depan) dan Mohd Jani Khamis bersama ikan jenahak yang berjaya dinaikkan.

Bertukar lubuk

Mereka kemudian bertukar lubuk kira-kira 20 meter dari Tiang Garuda, gara-gara bot beralih kedudukan apabila dilanda ombak akibat kapal dagang yang lalu-lalang di kawasan berhampiran.

"Di lubuk kedua, Golden Huntsman diasak kerapu bersaiz dua hingga tiga kg. Naik lenguh otot lengan kerana tidak menang tangan. Setiap kali umpan dilabuhkan, ada saja yang menyambar, yang tidak tahan gerut-gerut pun turut ambil kesempatan membaham umpan.

"Mana-mana ikan bersaiz kecil kami lepaskan semula ke laut supaya dapat membesar," katanya.

Berita Harian X