X
Rabu, 13 Januari 2016 | 12:07am

Habiskan stok, minimumkan judul baharu sepanjang 2016

ORANG ramai mengambil peluang sempena cuti umum berkunjung ke Pameran Buku Mega Popular di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, baru-baru ini. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan
ORANG ramai mengambil peluang sempena cuti umum berkunjung ke Pameran Buku Mega Popular di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, baru-baru ini. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

USAHA menghabiskan stok buku lama yang 'tersadai' dalam gudang dan meminimumkan penerbitan judul baharu untuk mengelakkan risiko tidak laku di pasaran menjadi antara cabaran tahun 2016 kepada syarikat penerbitan kecil.

Jualan buku yang merudum bukan saja dikaitkan dengan ketidakstabilan ekonomi, bahkan perubahan kepada gaya hidup masyarakat yang tidak lagi menjadikan buku sebagai keutamaan, sekali gus menjadi ancaman besar untuk kekal bersaing dalam industri.

Melihat pergerakan peniaga buku kecil yang diramal lebih perlahan tahun ini, Pengarah Eksekutif Jemari Seni Sdn Berhad dan JS Adiwarna Publications & Distributors Sdn Bhd, Noor Suraya Adnan Sallehudin mengakui terpaksa memikirkan idea baharu terutama strategi pemasaran unik bagi memastikan kelangsungan syarikat penerbitannya.

"Kalau bercakap mengenai dua syarikat penerbitan kami, iaitu Jemari Seni dan JS Adiwarna, perkembangannya sangat perlahan sejak tahun 2014 sehingga kami meramalkan tahun ini akan menjadi lebih sukar berbanding sebelumnya.

"Tahun lalu, kami hanya menerbitkan kurang daripada 24 judul baharu bagi kedua-dua syarikat, sementara buku kanak-kanak pula sudah dua tahun terpaksa dibekukan.

"Ia situasi yang amat menyedihkan terutama buku kanak-kanak kerana banyak manuskrip yang baik terpaksa ditolak mentah-mentah kerana jika masih diterbitkan, syarikat akan dibebankan dengan risiko tidak dapat dijual," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Bangi, baru-baru ini.

Tiada dukungan dana kerajaan

Justeru, Noor Suraya turut menggesa kerajaan untuk memberi lebih perhatian kepada penerbit buku yang seakan-akan dipinggirkan berbanding industri lain.

"Kerajaan menyarankan penerbit buku lebih giat dalam menghasilkan bahan bacaan sekolah tetapi pada masa sama, tidak ada dukungan diberikan dalam bentuk peruntukan bagi pembelian buku bagi diagihkan pada peringkat sekolah.

PENGARAH Eksekutif Jemari Seni Sdn Berhad dan JS Adiwarna Publications & Distributors Sdn Bhd, Noor Suraya Adnan Sallehudin. - Foto Adi Safri
PENGARAH Eksekutif Jemari Seni Sdn Berhad dan JS Adiwarna Publications & Distributors Sdn Bhd, Noor Suraya Adnan Sallehudin. - Foto Adi Safri

"Kami juga cuba untuk menjual buku di sekolah tetapi malangnya tidak mendapat kelulusan kementerian sehingga buku kanak-kanak seakan-akan tersepit kerana tidak dapat dijual meskipun ia menjadi sumber utama bagi penerbit.

"Jika penggiat seni seperti penerbit filem dibantu dengan pelbagai dana, mengapa tidak pemain industri buku dilayan secara adil dan mendapat sokongan yang sama," katanya.

Tambahnya, tirai 2016 turut disambut dengan penuh kebimbangan apabila Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2016 akan bertukar lokasi ke Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang sehingga menimbulkan persoalan sama ada ia mampu mengekalkan jumlah pengunjung seramai penganjurannya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur sejak edisi pertama.

Bimbang lokasi PBAKL berubah

"Apabila dimaklumkan PWTC tidak lagi menjadi lokasi PBAKL, ia tentu saja membimbangkan kami kerana sebagai penerbit buku kecil, bulan April dan Mei amat ditunggu-tunggu untuk menjual produk baharu kerana jumlah pengunjungnya yang besar.

"Kami bimbang jika sambutan pengunjung di lokasi baharu ini tidak sehebat dulu, apatah lagi penerbit sudah mengeluarkan belanja besar untuk menyewa gerai atau reruai sepanjang PBAKL 2016 berlangsung.

"JS mengambil keputusan untuk mengurangkan jumlah reruai kepada tiga berbanding enam gerai kerana tidak mahu menanggung kos kerugian sekiranya sambutan tidak memberangsangkan," katanya.

Bagaimanapun, Noor Suraya berkata, penerbit kecil perlu bersikap positif dan mengambil langkah bersedia antaranya membuat strategi baharu dengan mengeluarkan genre buku yang lebih khusus kepada pembaca sasarannya.

"Mungkin pembaca sasarnya sedikit tetapi ia lebih baik daripada tiada pembeli langsung dalam keadaan syarikat penerbitan yang tumbuh bagai cendawan, manakala masyarakat terutama orang muda mempunyai keutamaan yang jauh berubah seperti lebih gemar membelanjakan wang bercuti ke luar negara berbanding membeli buku," katanya.

Tambahnya, JS juga mengelak daripada menerbitkan novel dengan plot cerita yang tidak digemari pembaca seperti pengakhiran yang sedih, selain giat melakukan strategi pemasaran menggunakan media sosial seperti Facebook dan Instagram.

Sukar saingi penerbit gergasi

Sementara itu, Pengarah Idea Kreatif Publication, Zunaidah Zakaria yang terbabit dalam penerbitan novel cinta turut menjangkakan sukar bersaing dengan penerbit gergasi dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, sekali gus cuba tampil dengan cara tersendiri bagi memancing pembaca.

"Situasi yang mencabar ini memang memberikan kesan agak besar kepada penerbit terutama pengusaha kecil seperti kami tetapi saya lihat ada yang masih cuba bertahan dengan cara memperlahankan penerbitan.

"Walaupun baharu tiga tahun merangkak dalam industri penerbitan, kami optimis mampu bertahan dalam pasaran yang mencabar ini dengan memikirkan teknik pemasaran gaya baharu seiring dengan peredaran zaman bagi menarik perhatian khalayak penggemar novel.

"Kami tidak bermimpi untuk berdiri sama tinggi dengan penerbit novel cinta gergasi seperti Karangkraf atau Karya Seni tetapi masih bersyukur kerana kehadiran Idea Kreatif sudah semakin dilihat oleh masyarakat," katanya ketika ditemui Sastera BH di pejabatnya di Taman Kajang Sentral, Kajang, baru-baru ini.

Kompilasi novel terhad cecah RM300

NOVELIS, Zunaidah terbitkan kompilasi dua novel bantu jualan.
NOVELIS, Zunaidah terbitkan kompilasi dua novel bantu jualan.

Zunaidah berkata, setakat ini ideanya menerbitkan kompilasi dua novel sebagai satu naskhah dalam bentuk 'edisi terhad' banyak membantu penjualan, terutama dengan situasi pembaca yang semakin kurang mengunjungi pesta buku dan bersifat selektif dengan hanya membeli buku yang benar-benar menepati cita rasa saja.

"Strategi ini nampaknya berhasil, apabila kesemua novel Idea Kreatif edisi terhad laris bagai pisang goreng, bahkan ada pembaca yang mengambil peluang membeli dalam jumlah yang banyak untuk menjualnya semula dengan harga tinggi.

"Setakat ini, harga paling tinggi yang dijual bagi novel edisi terhad keluaran Idea Kreatif dalam laman sosial bagi sebuah naskhah ialah sekitar RM250 ke RM300," katanya.

Zunaidah yang juga novelis dengan nama pena Hani Fazuha berkata, nilai kebolehpasaran sesebuah novel terbitannya menjadi lebih tinggi menerusi pengeluaran edisi terhad kerana pembaca berebut-rebut untuk memastikan mereka tidak terlepas peluang memilikinya.

Media sosial, siar fragmen novel

"Penerbit terutama pengusaha buku berskala kecil perlu bijak menyusun strategi baharu supaya tidak terus ketinggalan dan mungkin juga terpaksa gulung tikar kerana terpaksa menanggung kerugian.

"Saya sarankan penerbit kecil menggunakan platform media sosial sepenuhnya kerana ia amat membantu dalam jualan karya contohnya mempopularkan pengarang sebelum penerbitan judul baharu dan penyiaran fragmen novel untuk tujuan promosi awal," katanya.

Zunaidah turut melihat keperluan untuk penerbit buku meneroka pasaran digital sebagai persediaan awal sejajar dengan perkembangan teknologi yang pesat hari ini.

"Idea Kreatif sendiri turut memasarkan e-buku menerusi syarikat digital, e-Sentral yang mendapat sambutan agak baik walaupun hakikatnya novel fizikal masih menjadi pilihan utama masyarakat.

"E-buku juga dijual pada harga jauh lebih murah iaitu sekitar RM5 bagi sebuah naskhah tetapi tidak mustahil angka pembeli buku digital bakal meningkat sedikit masa lagi dengan wujudnya pelbagai peranti canggih dan perubahan gaya hidup semasa," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X