Isnin, 11 Januari 2016 | 10:34am

Operasi menyelamat pendaki Gunung Bintang diteruskan

PASUKAN penyelamat melancarkan gerakan menyelamat selepas tiga pendaki terkandas di Gunung Bintang, Kampung Sedim,Kulim semalam, - Foto Azahar Hashim
PASUKAN penyelamat melancarkan gerakan menyelamat selepas tiga pendaki terkandas di Gunung Bintang, Kampung Sedim,Kulim semalam, - Foto Azahar Hashim

KULIM: Operasi menyelamat dua lagi mangsa yang terkandas di puncak Gunung Bintang di sini, diteruskan hari ini membabitkan penggunaan sebuah helikopter milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba II Mohd Hafiz Suhaimi, berkata operasi bermula jam 8 pagi tadi selepas dihentikan jam 7 petang semalam berikutan keadaan cuaca tidak mengizinkan.

Katanya, pasukan penyelamat akan cuba menggunakan helikopter dari Pangkalan JBPM di Bertam, Pulau Pinang, bagi membawa turun mangsa yang terkandas.

"Sekiranya usaha membawa mangsa turun menggunakan helikopter berjaya, ia akan mendarat di padang bola Kampung Desa Teruna berhampiran pusat operasi menyelamat.

"Kedua-dua mangsa akan dibawa ke Hospital Kulim untuk rawatan. Sekiranya jika usaha menyelamat menggunakan helikopter gagal, mangsa akan dibawa turun melalui jalan darat.

"Mangsa kini berada bersama dengan pasukan penyelamat yang naik ke gunung sejak semalam bagi membantu dengan membawa bekalan makanan," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Semalam, tiga pendaki terkandas ketika mendaki Gunung Bintang selepas seorang mengalami kekejangan sebelum menghubungi talian kecemasan untuk bantuan.

Seorang daripada mereka yang turun untuk mendapatkan bantuan ditemui pasukan penyelamat tengah hari kelmarin.

Syed Mohd Asyraf Syed Othman, 31, ditemui ketika turun bagi mendapatkan bantuan kira-kira jam 12.45 tengah hari, sebelum dibawa ke pusat operasi mencari dan menyelamat di Kampung Sedim, di sini.

Dua mangsa yang masih berada di puncak ialah Muhamad Faisal Abu Bakar, 29, dan Shahfaizal Ramzi, 25, yang dilapor mengalami kekejangan.

Berita Harian X