Isnin, 11 Januari 2016 | 12:07am
KETUA Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku (PKB), Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
KETUA Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku (PKB), Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Cabaran industri perbukuan hadapi ekonomi suram

KEADAAN ekonomi semasa yang tidak begitu memberangsangkan memberikan tamparan hebat kepada pemain industri buku untuk kekal kompetitif dalam lambakan penerbit dan judul baharu di pasaran, selain berdepan kesukaran apabila kuasa beli pengguna turun secara mendadak.

Meskipun mengakui hal itu, Pengarah Urusan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Mohd Khair Ngadiron, meminta penerbit buku tidak melihatnya secara negatif, sebaliknya menggalakkan mereka lebih proaktif dan agresif mencari gerak langkah serta strategi baharu bagi menangani permasalahan berkenaan.

"Permasalahan ekonomi yang melanda negara sememangnya turut memberi tempias kepada industri perbukuan tetapi yang lebih utama bagaimana penerbit mengambil inisiatif mempelbagaikan cara menjual produk.

MOHD Khair Ngadiro. - Foto Nik Hariff Hassan
MOHD Khair Ngadiro. - Foto Nik Hariff Hassan

"ITBM sendiri dalam situasi mencabar ini, tidak bertindak mengurangkan jumlah penerbitan, sebaliknya mengekalkan sasaran judul tahunan, iaitu 196 karya terjemahan dan 150 terbitan karya asli sama seperti tahun lalu.

"Kami optimis mencuba pelbagai cara termasuk menjual buku menggunakan rangkaian dan memastikan pengedarannya lebih menyeluruh, iaitu menjelajah menggunakan kedai buku bergerak ITBM serta menjalin kerjasama penerbitan dengan pemain dalam dan luar negara," katanya kepada Sastera BH di Wisma ITBM, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ramalan e-Buku tersasar

Katanya, tidak mustahil perkembangan positif industri perbukuan dapat dilakar pada 2016, sebagaimana yang berlaku di negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) apabila ramalan yang menyifatkan jualan buku fizikal bakal turun mendadak dengan kebangkitan e-Buku jauh tersasar.

"Ada beberapa senario di luar negara tahun lalu termasuk telahan e-Buku bakal mengatasi jualan terlaris buku konvensional di AS yang tersasar.

Mohd Khair Ngadiron menunjukkan buku yang sedia untuk dipasarkan. - Foto Nik Hariff Hassan
Mohd Khair Ngadiron menunjukkan buku yang sedia untuk dipasarkan. - Foto Nik Hariff Hassan

"Menerusi laporan yang dikeluarkan menunjukkan jumlah buku bercetak sebanyak 531 juta berjaya dijual, iaitu meningkat sebanyak 17 juta daripada tahun 2014, manakala e-Buku cuma mewakili jumlah kecil iaitu 25 peratus saja.

"Di Malaysia, keadaannya lebih kurang sama, walaupun pergerakan jualan buku perlahan, orang awam masih cenderung untuk membeli buku meskipun kita akui pembelian oleh pihak seperti institusi sememangnya agak merosot," katanya.

Beliau berkata, tidak ada petanda yang menunjukkan banyak penerbit akan gulung tikar dengan keadaan ekonomi semasa kerana mereka yang berada dalam industri ini mempunyai kebijakan dan cara tersendiri untuk memastikan karya terbitan terjual.

Jual buku cara lain

"Pada zaman serba canggih kini, kedai buku bukanlah satu-satunya kaedah pemasaran jualan yang utama, sebaliknya banyak trend baharu muncul yang membolehkan buku dijual dengan pelbagai cara lain dengan lebih cekap.

PENGURUS Kanan Projek Khas Popular Book, Helen Goh (kiri) bersama Pengurus Kawasan Popular Book, Brian Yong (kanan) dan Pemangku Pengarah Urusan Hotel Zenith, Charles B Peter (tengah) melihat sebahagian buku selepas perasmian Pesta Buku Popular di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC). - Foto Luqman Hakim Zubir
PENGURUS Kanan Projek Khas Popular Book, Helen Goh (kiri) bersama Pengurus Kawasan Popular Book, Brian Yong (kanan) dan Pemangku Pengarah Urusan Hotel Zenith, Charles B Peter (tengah) melihat sebahagian buku selepas perasmian Pesta Buku Popular di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC). - Foto Luqman Hakim Zubir

"Jadi, yang lebih bermasalah pada masa sekarang ialah kedai buku yang mungkin berdepan tekanan buku tidak boleh dijual terutama apabila penerbit memilih melakukan pengedaran sendiri," katanya.

Tambahnya, ITBM juga sedang merangka kerjasama dengan penerbit karya terjemahan di Indonesia, iaitu Yayasan Lontar bagi mengetengahkan karya agung klasik Melayu seperti Hikayat Hang Tuah, Hikayat Merong Mahawangsa dan Syair Siti Zubaidah ke peringkat serantau serta seterusnya memasuki pasaran antarabangsa.

Menyentuh dasar kerajaan dalam membantu industri perbukuan, Mohd Khair melihat perlu ada penegasan dalam sistem pengagihan Baucar Buku 1 Malaysia (BB1M) bagi mengelakkan pelbagai ketirisan terus berlaku.

"Saya amat tertarik apabila kerajaan mengumumkan BB1M diteruskan bagi 2016 di kedai buku terpilih saja, ia amat penting kerana sebelum ini banyak baucar yang digunakan oleh pelajar dan pihak tertentu diselewengkan untuk pembelian selain daripada buku.

KEADAAN ekonomi semasa yang tidak begitu memberangsangkan memberikan tamparan hebat kepada pemain industri buku untuk kekal kompetitif dalam lambakan penerbit dan judul baharu di pasaran. - Foto Luqman Hakim Zubir
KEADAAN ekonomi semasa yang tidak begitu memberangsangkan memberikan tamparan hebat kepada pemain industri buku untuk kekal kompetitif dalam lambakan penerbit dan judul baharu di pasaran. - Foto Luqman Hakim Zubir

"Setakat ini kerajaan belum mengeluarkan kenyataan bagaimana mekanisma baharu pengagihan baucar berkenaan, tetapi harapan besar pemain buku adalah supaya kawalan yang lebih ketat dilaksanakan sebaiknya," katanya.

Faktor buku indie

Mohd Khair turut melihat pemain buku 'indie' memberikan kesan cukup positif kepada perkembangan industri buku secara keseluruhannya, terutama keberanian menyuntik elemen baharu dalam karya yang diterbitkan.

"Saya melihat kebangkitan penerbitan indie sebagai pelengkap kepada perkembangan perbukuan negara kerana tanpanya kita akan terus bersifat statik.

"Indie memberikan warna berbeza bukan saja pada wajah dan konsep bukunya, bahkan judul yang menarik serta kandungan segar sehingga ia menjadi pilihan pembaca khususnya generasi muda.

"Bahkan, tanggapan negatif yang mengatakan lambakan buku indie membunuh pemikiran minda pembaca adalah tidak tepat kerana tidak semuanya bersifat picisan," katanya.

SEBAHAGIAN pengunjung di Pesta Buku Popular di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC). - Foto Luqman Hakim Zubir
SEBAHAGIAN pengunjung di Pesta Buku Popular di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC). - Foto Luqman Hakim Zubir

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kota Buku (PKB), Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar, berkata strategi lebih konkrit perlu dibina dalam mendepani pelbagai kemungkinan dalam kesuraman ekonomi semasa.

Teliti jadual, aktiviti perbukuan

"Saya melihat pemain buku (usahawan buku) perlu agresif terutama melihat secara teliti jadual tahunan aktiviti perbukuan yang penting termasuk pesta buku di seluruh negara, mengatur strategi buku bagaimana yang sepatutnya diterbitkan dengan mengambil kira pembeli sasaran mereka.

"Dalam keadaan yang serba mencabar ini, pemain industri buku perlu meluaskan skop perniagaan antaranya mencari peluang baharu dengan meluaskan rangkaian terutama untuk terus bertahan dalam perkembangan industri yang menyesakkan," katanya.

Katanya, keprihatinan pemain buku untuk memahami skala perekonomian juga memainkan peranan penting terutama dalam mencerap trend dan cita rasa pembaca, sekali gus memastikan hanya buku yang mempunyai nilai 'kebolehpasaran' diterbitkan.

"Kita sememangnya menjangkakan 2016 adalah tahun yang amat mencabar untuk pemain industri buku, bukan saja kebimbangan mengenai jualan buku, bahkan bagaimana untuk membayar semula pinjaman bank yang digunakan bagi menanggung kos operasi.

Kelebihan penerbit fokus genre

"Justeru, segala-galanya bergantung kepada daya tahan, keusahawanan dan kebijaksanaan pemain buku untuk memahami trend semasa terutama buku bagaimana yang ingin dibaca oleh masyarakat pada masa kini.

PESTA Buku Popular di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC). - Foto Luqman Hakim Zubir
PESTA Buku Popular di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC). - Foto Luqman Hakim Zubir

"Saya melihat kelebihan kepada penerbit yang fokus kepada karya dalam genre tertentu lebih mudah mendapat tempat di pasaran berbanding pemain industri yang menjual apa saja buku, tanpa melihat kepada cita rasa pembacanya," katanya.

Tambahnya, kos hidup yang tinggi turut memberi kesan kepada masyarakat sehingga buku tidak dilihat sebagai 'keperluan', sekali gus membuatkan pengguna menjadi lebih selektif terutama dalam pembelian karya.

"Contohnya pada awal 2015 berlaku longgokan buku agama, apabila hampir semua penerbit cenderung menghasilkan buku sedemikian sehingga ada satu ketika lebih 3,000 naskhah judul buku Islami berada di pasaran pada waktu yang sama.

"Ia akhirnya mengakibatkan pengguna terpaksa membuat pilihan dengan membezakan kandungan serta harga yang bertepatan dengan selera mereka.

"Saya tidak melihat industri buku akan terkubur, tetapi menjangkakan pengguna tidak akan membelinya secara mewah seperti tahun sebelumnya," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X