Ahad, 10 Januari 2016 | 8:08pm

Seorang selamat, dua lagi terkandas di Gunung Bintang

SYED Mohd Asyraf Syed Othman dibawa ke pusat operasi mencari dan menyelamat di Kampung Sedim, Kulim, tengah hari tadi. - Foto Azahar Hashim
SYED Mohd Asyraf Syed Othman dibawa ke pusat operasi mencari dan menyelamat di Kampung Sedim, Kulim, tengah hari tadi. - Foto Azahar Hashim

KULIM: Seorang daripada tiga pendaki yang dilapor terkandas di puncak Gunung Bintang, di sini, ditemui pasukan penyelamat tengah hari tadi.

Mangsa, Syed Mohd Asyraf Syed Othman, 31, ditemui ketika menuruni gunung terbabit untuk mendapatkan bantuan kira-kira jam 12.45 tengah hari, sebelum dibawa ke pusat operasi mencari dan menyelamat di Kampung Sedim, di sini.

Bagaimanapun, dua lagi mangsa termasuk yang cedera masih berada di puncak Gunung Bintang dan usaha menyelamatkan mereka sedang dijalankan.

Mereka ialah Muhamad Faisal Abu Bakar, 29, dan rakannya yang mengalami kekejangan, Shahfaizal Ramzi, 25, masing-masing dari Selangor.

Difahamkan, ketiga-tiga mangsa mula menaiki Gunung Bintang yang mempunyai ketinggian keseluruhan 1,861 meter dari paras laut, melalui Kampung Sedim kira-kira jam 4 pagi semalam.

Bagaimanapun, pergerakan mereka terhenti selepas kira-kira 15 jam mendaki berikutan Shahfaizal mengalami kecederaan akibat kekejangan, sebelum memutuskan untuk bermalam di lokasi dikenali Bukit Bunian.

Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba II Mohd Hafiz Suhaimi, berkata sehingga kini usaha sedang digerakkan untuk menyelamatkan dua lagi mangsa dan jika berdepan kesukaran, khidmat helikopter Unit Udara JBPM mungkin digunakan.

Berita Harian X