Sabtu, 9 Januari 2016 | 12:08am
ZIZAN mengambil pendekatan untuk memekakkan telinga serta berdiam diri.. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Zizan ulas gosip intim dengan janda pelakon


TAHUN lalu, nama Zizan Razak sememangnya cukup panas dengan beberapa kontroversi termasuk kisah putus cinta dengan Emma Maembong, dikatakan sebagai lelaki kasanova dan gosip beliau enggan digandingkan bersama seorang aktor.

Tidak ketinggalan, pelakon komedi popular ini juga pernah dikaitkan intim bersama pegawai kanan sebuah stesen televisyen berbayar.

Begitupun, cerita panas berkenaan seakan-akan reda seketika apabila artis lawak ini mengumumkan untuk menamatkan zaman bujang. Kononnya, beliau akan menaiki pelamin sekitar Jun tahun lalu dengan seorang gadis yang juga berasal dari Terengganu.

Sebaik saja beliau kembali sibuk dengan tugasnya sebagai pengacara Akademi Fantasia 2015, kisah perkahwinannya itu pun bagai sunyi tanpa perkembangan susulan.

Ketika itu juga, selebriti ini seolah-olah melarikan diri daripada pihak media selepas pelbagai kontroversi melingkari hidupnya.

Sempena kedatangan tahun baharu, bintang Polis Evo ini juga mengeluarkan kenyataan dirinya berazam untuk tidak lagi dikaitkan dengan cerita panas seperti yang kerap melanda dirinya sepanjang 2015.

Namun begitu, belum pun beberapa hari tirai 2016 disingkap, sudah terdengar desas-desus mengatakan bekas peserta Raja Lawak ini sedang menjalinkan hubungan intim bersama janda beranak dua seorang pelakon drama popular tanah air.

Apabila cerita terbabit kedengaran, ia tentu saja memeranjatkan kerana sebelum ini pelakon drama berkenaan pernah meluahkan hasrat kembali ke pangkuan bekas isterinya.

PELAKON Oh My Ganu 2, Zizan Razak. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Saat diajukan soalan berhubung perkara itu kepada empunya diri, Zizan tanpa membuang masa terus berkali-kali bertanya kepada penulis mengenai sumber cerita berkenaan.

Bagi lelaki ini, cerita dirinya bercinta dengan wanita berkenaan adalah mengarut dan sengaja diperbesar-besarkan.

"Saya kenal beliau dan adik-beradiknya, tetapi tidak lebih daripada itu. Rasanya gosip ini sangat-sangat mengarut. Saya rasa lebih baik saya berdiam diri daripada bercakap kerana orang tidak akan habis-habis buat cerita.

"Kadang-kadang, apabila kita lalu saja depan rumah pelacur, orang boleh ambil gambar dan cakap macam-macam tetapi saya harus sedar, kita ini berada dalam dunia selebriti dan orang mengenali kita. Kita tidak buat (apa-apa) pun, orang tetap cuba menjatuhkan dan mencari salah kita.

"Saya pula mengaku memang mengenali beliau, tetapi jika hendak dikata bercinta, ia memang tidak benar," katanya.

Rimas dan serik dikaitkan dengan kontroversi, Zizan mengambil pendekatan untuk memekakkan telinga serta berdiam diri. Anggapannya, langkah itu akan dapat meredakan keadaan.

Mengakui, ada pihak yang tidak henti-henti mencari salah dan silap dirinya, Zizan ingin menutup segala cerita kurang elok membabitkan beliau dengan bersandarkan bakat anugerah Tuhan kepadanya.

SEBAHAGIAN daripada pelakon Telemovie 'Oh My Ganu 2' di GSC, The Garden, Kuala Lumpur. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

"Saya selalu berpegang kepada Allah dan berdiri di atas bakat sendiri. Kontroversi ataupun tidak, kalau orang tengok bakat kita bagus dan apa yang kita lakukan memang terbaik serta ikhlas kerana Allah, perkara ini dengan sendirinya akan lenyap.

"Kita kena selalu menjaga aib orang lain dan insya-Allah, Allah akan menjaga aib kita. Kita tengok Rasulullah pun tidak membuka aib orang dan segala kesilapan kita tidak perlu dihebahkan.

"Pada saya, lebih baik kita berdiam diri dan bercerita dengan Allah saja, serta bertaubat," katanya sambil menyindir golongan yang suka menyebarkan keaiban insan lain.

Tidak melatah dengan gosip yang dikaitkan dengannya, Zizan yang ditemui pada majlis pratonton episod akhir telefilem, Oh My Ganu 2! di ibu negara, baru-baru ini, meletakkan kepercayaan ibunya, Anai Ibrahim sebagai kekuatan diri dalam menempuh dugaan yang dihadapi.

"Ibu adalah orang yang paling menyayangi diri saya dan beliau jugalah yang memberikan semangat kepada saya. Beliau juga tidak risau kerana dirinya tahu sikap saya yang sebenar," kata Zizan yang kini yang sibuk menjalani penggambaran filem Abang Long Fadil 2.

Kembali bangkit daripada kontroversi yang menghimpit diri di samping membersihkan semula namanya yang tercalar, Zizan memastikan beliau sibuk dengan penggambaran dan pementasan teater.

Bakal membintangi teater Bikers Kental yang akan dipentaskan di Istana Budaya, pelakon berusia 31 tahun ini akan menjalani latihan pementasan terbabit mulai 16 Januari.

Mengharapkan sokongan peminat dapat mengembalikan keyakinannya untuk lebih aktif dalam bidang seni, Zizan turut mengelakkan sikap tamak dalam merebut peluang demi memberikan hasil terbaik kepada setiap produksi dijayakannya.

"Selepas selesai penggambaran filem Abang Long Fadil, saya akan mengikuti latihan teater. Kemudian, saya akan masuk semula ke set penggambaran untuk sebuah lagi filem. Tahun ini, memang banyak tawaran yang saya terima.

"Soal jodoh pula, saya letak ketepi dulu kerana ingin memberikan komitmen kepada kerjaya. Insya-Allah, apabila sampai masanya, saya akan maklumkan juga kepada semua. Cuma, dengan siapa saya akan berkahwin, saya sendiri pun belum tahu," katanya.

Berita Harian X