Ahad, 12 Oktober 2014 | 6:11pm

31 kawasan catat IPU sederhana

KUALA LUMPUR: Sebanyak 31 kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sederhana di seluruh negara, hari ini.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G Palanivel, dalam satu kenyataan hari ini, berkata antara kawasan yang mencatat IPU sederhana ialah Pelabuhan Klang, Selangor (95), Batu Muda, Kuala Lumpur (86) dan Petaling Jaya(86).

Selain itu, Pulau Pinang mencatatkan bacaan IPU 64, Seberang Perai (79) dan Universiti Sains Malaysia (73).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak Sihat) 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Katanya, kemerosotan kualiti udara di pantai barat Semenanjung dan Sarawak masih berpunca akibat pencemaran jerebu merentas sempadan dari Sumatera dan Kalimantan, Indonesia. Jabatan Alam Sekitar (JAS) kini masih memantau situasi berkenaan.

"Berdasarkan laporan Pusat Meteorologi Khas Asean (ASMC) yang berpusat di Singapura semalam merekodkan sebanyak 253 titik panas di Kalimantan melalui satelit National Oceanic and Atmhospheric Administration (NOAA) dan tiada titik panas dikesan dalam negara," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan cerapan satelit NOAA, terdapat 18 lagi lingkaran asap jerebu sederhana di bahagian selatan Sumatera dan di tengah serta selatan Kalimantan.

"Dalam hal ini, Malaysia turut menggesa pihak kerajaan Indonesia agar segera melaksanakan tindakan pencegahan dan pemadaman kebakaran tanah dan hutan secara lebih meluas dan efektif," katanya.

Sementara itu, Palanivel berkata JAS telah mengambil beberapa langkah untuk menangani musim panas dan kering Monsun Barat Daya yang telah bermula Mei lepas.

"Antaranya dengan mengaktifkan pelan tindakan pencegahan pembakaran terbuka dan prosedur tetap operasi program pencegahan dan pengurusan tanah gambut sering terbakar," katanya.

Palanivel berkata, setakat semalam, sebanyak 4,780 kes pembakaran terbuka dikesan di seluruh negara.

Pembakaran terbuka membabitkan kawasan hutan sebanyak 908 kes, pertanian (1,476 kes), industri (34 kes), pembinaan (156 kes), tapak pelupusan sampah (86 kes), belukar (1,035 kes) dan pembakaran terbuka kecil (1,076 kes).

Beliau turut menggesa orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki atau diceroboh pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka dengan sengaja atau untuk tujuan tertentu.

- BERNAMA

Berita Harian X