Khamis, 7 Januari 2016 | 11:07am

Padam kebakaran jumpa lelaki kena tetak

SHAH ALAM: Sepasukan anggota bomba yang sedang memadamkan kebakaran sebuah jengkaut di Seksyen 13, di sini terkejut apabila menemui seorang lelaki parah dipercayai akibat ditetak, pagi tadi.

Dalam kejadian itu jam 4 pagi, mangsa diselamatkan sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat yang bergegas ke lokasi berhampiran tapak pembinaan berdekatan sebuah universiti swasta memadamkan kebakaran di bahagian enjin jengkaut berkenaan.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohd Sani Harul berkata, ketika operasi pemadaman dijalankan, anggota bertugas terdengar suara lelaki menjerit meminta pertolongan.

Beliau berkata, lelaki yang berusia 50-an itu ditemui tidak jauh dari lokasi kejadian dalam keadaan berlumuran darah.

"Pemeriksaan mendapati tangan kanan dan paha kirinya hampir putus dipercayai ditetak.

"Lelaki terbabit dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan lanjut dan kes diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut," katanya.

Berita Harian X