Rabu, 6 Januari 2016 | 1:23pm

Mah Sing kekal sasaran jualan RM2.3b‎

KUALA LUMPUR: Mah Sing Group Bhd, pemaju hartanah tempatan menetapkan sasaran jualan RM2.3 bilion tahun ini walaupun jangkaan sektor hartanah domestik kekal mencabar pada 2016.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ng Chai Yong, berkata unjuran tahun ini adalah sama dengan 2015 dengan pemacu utama untuk mencapai sasaran itu adalah lebih banyak pelancaran baharu dan pembangunan sedia ada.

Katanya, walaupun wujudnya jangkaan bahawa sektor hartanah kekal mencabar tahun ini, namun bagi Mah Sing ia kekal optimis bersandarkan jenis hartanah yang ditawarkan berbanding pemaju lain.

"Mah Sing akan terus membangunkan kediaman mampu milik pada harga sekitar RM500,000 ke bawah di kawasan utama seperti Lembah Klang; Iskandar, Johor; Pulau Pinang; dan Sabah."

Dalam masa sama kita juga tetap membangunkan kediaman mewah di mana Mah Sing masih kekal menjadi pemaju pilihan kepada pembeli menerusi tawaran menarik, jenis hartanah dan lokasi strategik.

"Hala tuju Mah Sing kekal berdaya saing dan kami amat optimis dengan apa yang akan kami capai sepanjang tahun ini," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran kempen ganjaran tahun baharu 2016 di sini, hari ini.

Tahun lalu, Mah Sing menyasar jualan RM2.3 bilion dan ia bakal diumumkan pada Februari ini bersama keputusan kewangan penuh syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015.Setakat 30 September 2015, jumlah jualan belum dibilkan adalah RM4.75 bilion.

Ketika ini, Mah Sing memiliki 46 projek hartanah dengan 11 daripadanya sudah siap sepenuhnya‎.

Mengenai simpanan tanah, Ng berkata, Mah Sing setakat ini memiliki 1,027 hektar tanah belum dibangunkan selain giat meneroka peluang mengambilalih tanah di kawasan utama di Lembah Klang, Johor, Pulau Pinang dan Sabah.

"Kami amat berhati-hati untuk menambah simpanan tanah. Mah Sing menitikberatkan soal lokasi. Kami akan memberi tumpuan di kawasan utama yang sudah dibangunkan syarikat," katanya.

Bersandarkan 1,027 hektar tanah yang belum dimajukan membabitkan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM25.9 bilion itu, ia dapat mengekalkan daya saing syarikat untuk tempoh lapan tahun.‎

Berita Harian X