Selasa, 5 Januari 2016 | 7:59am

AS bantah China buat ujian landasan terumbu karang

LANDASAN terumbu karang FieryCross Reef. - Foto Reuters

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) menyifatkan tindakan China membuat ujian landasan di atas satu daripada tujuh pulau buatan manusia di Laut China Selatan yang menjadi pertikaian, mencetuskan ketegangan dan ancaman terhadap kestabilan serantau.

Jurucakap Jabatan Negara, John Kirby, berkata AS meminta supaya kerja penambakan tanah dan pembinaan pos tentera di perairan berkenaan dihentikan memandangkan China dan lima lagi negara Asia sedang bersaing membuat tuntutan.

Minggu lalu, Vietnam membantah keputusan China mendaratkan pesawat di atas terumbu karang Fiery Cross Reef dan berkata, tindakan berkenaan mencabul kedaulatan Hanoi dan menuntut China supaya menghentikan tindakan sedemikian.

Bagaimanapun, China menolak bantahan Hanoi.

Semalam, Filipina menyertai Vietnam bagi mengkritik tindakan China dan berkata, ia juga menimbang untuk menghantar bantahan rasmi. - AP

Berita Harian X