Isnin, 4 Januari 2016 | 11:59am

Pasangan kembar tiga daftar Tahun Satu

PENGARAH Pendidikan Negeri Perak, Rozi Puteh Ismail, (tengah) beramah mesra bersama dengan pasangan kembar tiga, Muhammad Nur Syahmi, Muhammad Nur Syahiran dan Muhammad Nur Thaqif ditemani oleh bapa mereka Ridzuan Rahani di Sekolah Kebangsaan (SK) Pakatan Jaya di Ipoh. - Foto Mohd Nazrulaswad
PENGARAH Pendidikan Negeri Perak, Rozi Puteh Ismail, (tengah) beramah mesra bersama dengan pasangan kembar tiga, Muhammad Nur Syahmi, Muhammad Nur Syahiran dan Muhammad Nur Thaqif ditemani oleh bapa mereka Ridzuan Rahani di Sekolah Kebangsaan (SK) Pakatan Jaya di Ipoh. - Foto Mohd Nazrulaswad

IPOH: Pasangan kembar tiga, Muhammad Nur Syahmi, Muhammad Nur Syahiran dan Muhammad Nur Thaqif, menjadi antara murid yang mendaftar tahun satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Pakatan Jaya di sini.

Ketiga-tiga mereka datang dengan wajah ceria untuk mendaftar ditemani bapa mereka Ridzuan Rahani, 41.

Muhammad Nur Syahmi dan Muhammad Nur Syahiran dimasukkan ke kelas 1 Mega manakala Muhammad Thaqif pula di kelas 1 Giga di sekolah berkenaan.

Sementara itu, pada sebelah pagi Pengarah Pelajaran Perak, Rozi Puteh Ismail hadir melakukan lawatan hari pertama di sekolah berkenaan di sini, sebentar tadi.

Rozi berkata, seramai 227,541 murid yang mendaftar di sekolah rendah di seluruh Perak dan daripada jumlah itu, seramai 157,154 murid mendaftar di Sekolah Kebangsaan (SK), 50,755 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), 14,265 di Sekolah Kebangsaan Jenis Tamil (SJKT) dan 5,367 di Sekolah Murid Orang Asli (SMOA).

"Seramai 37,532 murid mendaftar tahun satu dan daripada jumlah itu, 25,205 murid mendaftar di SK, SJKT (8,743 murid), SJKC (2,669 murid) dan 915 murid di SMOA.

"Sementara itu, seramai 18,770 pula mendaftar di prasekolah dengan 16,034 dari SK, SJKT (911 murid), SJKC (1,450 murid) dan 375 murid Orang Asli," katanya pada sidang media di sini.

Beliau berkata, Jabatan Pendidikan negeri akan memberi tumpuan untuk menerapkan semangat Perak Excellent dalam kalangan murid di negeri itu.

"Kita akan tetap menjalankan proses pembelajaran walaupun hanya ada seorang pelajar datang berdaftar di sekolah berkenaan. Itu janji jabatan pendidikan," katanya.

Guru Besar sekolah berkenaan, Faridah Yusop pula berkata, seramai 150 murid mendaftar tahun satu dan 50 murid prasekolah di sekolah berkenaan.

Berita Harian X