Isnin, 4 Januari 2016 | 12:15am

Naik taraf kementerian untuk bela suami teraniaya


KUALA LUMPUR: Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat wajar dinaikkan taraf, dengan mewujudkan jabatan khusus supaya hak dan hal ehwal kaum lelaki yang menjadi mangsa deraan isteri turut dibela.

Pendekatan itu dilihat suatu keperluan kerana ketika ini belum ada saluran kepada kaum lelaki khususnya yang tertindas dan menjadi mangsa dera untuk mengadu.

Pakar perundangan yang juga pensyarah Kuliah Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz, ketika mengemukakan saranan itu, berkata umum mengetahui tanggungjawab lelaki melebihi wanita sebagai ketua dan seumpamanya.

Beliau berkata, perhatian kerajaan di peringkat kementerian, dapat mengelakkan diskriminasi agama dan bangsa, kerana masalah penderaan mental dialami kaum lelaki tidak terhad kepada mangsa beragama Islam sahaja.

"Pendekatan ini perlu bagi membentuk suami isteri sebagai sebuah pasukan yang boleh bekerjasama dengan baik, saling melengkapi tanpa wujud penindasan atau penderaan secara fizikal atau mental.


PENSYARAH Kuliah Undang-Undang di UIAM, Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

"Situasi semasa memperlihatkan penganiayaan bukan lagi isteri sebagai mangsa, sebaliknya golongan suami tidak terkecuali dalam kehidupan berumah tangga. Bagaimana lelaki mahu membela wanita lemah, sedangkan hak sendiri tidak terbela," katanya kepada BH.

Beliau mengulas laporan BH berhubung kajian pakar sosial Universiti Putra Malaysia (UPM) yang mendapati penderaan mental dan psikologi dialami suami menjadi punca kira-kira 23,800 kes perceraian pasangan Islam di seluruh negara pada 2014.

Shamrahayu mengambil contoh antara punca keruntuhan rumah tangga pasangan Islam yang dikaitkan dengan amalan sihir, tetapi mangsa terpaksa dirujuk sebagai pesakit mental.

"Apabila ada jabatan yang khusus mengenai hal ehwal lelaki, ia boleh dirujuk kepada mereka. Hanya selepas itu, barulah undang-undang mengenai sihir boleh dibawa ke Parlimen bersama bukti, fakta dan asas empirikal yang kukuh," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang, berkata golongan suami boleh memfailkan nusyuz terhadap isteri yang keluar dari rumah tanpa izin dan langsung tidak pulang selepas itu.

"Sekiranya isteri keluar rumah tanpa keizinan untuk bercuti tetapi selepas itu kembali semula ke rumah, ia tidak dikira nusyuz tetapi kalau tidak pulang langsung, maka permohonan nusyuz di mahkamah syariah boleh difailkan," katanya.


LAPORAN BH susulan isu dera mental, psikologi suami, semalam.

Musa berkata, pasangan yang berdepan masalah dalam perkahwinan perlu merujuk kes kepada pejabat agama supaya permasalahan yang timbul oleh diteliti pegawainya sebelum menentukan tindakan lanjut termasuk sesi kaunseling bagi mencari jalan penyelesaian untuk menyelamatkan rumah tangga mereka.

Katanya, bagi isteri yang gagal kembali selepas meninggal rumah tanpa kebenaran, suami boleh berjumpa mana-mana peguam syarie untuk menghantar notis kembali taat kepada isterinya sebagai ikhtiar awal agar mereka dapat kembali bersama sebagai sebuah keluarga.

"Peguam akan hantar kepada isteri notis memberi tempoh tertentu. Kalau selepas dua langkah diambil dan masih tak balik, suami boleh bawa kes ke mahkamah syariah untuk dapatkan perintah kembali taat.

"Jika dapat perintah itu (tetapi) isteri masih ingkar dan tidak balik juga, mahkamah akan sabitkan sebagai isteri yang nusyuz," katanya.


ABDUL menunjukkan dua laporan polis susulan kes penderaan. - Foto Surianie Mohd Hanif

Sihir antara punca suami alami penderaan mental

SEORANG suami yang mendakwa menjadi mangsa deraan mental, tampil mendedahkan masalah kesihatan dan penderaan yang dialami, menghancurkan rumah tangga yang dibina sedekad lalu, sebagai iktibar kepada pasangan lain.

Penjawat awam berusia 33 tahun itu dikenali sebagai Abdul, mendakwa perkahwinan yang dibina atas dasar cinta, hancur apabila beliau menderita sakit misteri yang gagal disembuhkan menerusi perubatan moden pada 2010.

Beliau mendakwa, anggota tubuh badannya seolah-olah lumpuh secara rutin setiap hari bermula jam 8 pagi hingga jam 2.30 petang dan ketika tidur bersama isterinya.

"Penyakit yang saya alami membuatkan saya mengalami simptom rasa rindu ketika berjauhan daripada isteri, tetapi lemah dan tunduk apabila berdekatan.

"Ibarat lembu yang dicucuk hidung, saya kelu untuk berkata-kata bagi menghalang atau menegur perbuatan isteri yang salah meskipun dia berada di hadapan mata.

"Semuanya seolah-olah dikawal menyebabkan isteri mengambil kesempatan keluar berfoya-foya secara bebas di luar rumah selama berminggu-berminggu, meninggalkan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu kepada dua anak kami," katanya yang ditemani ibu dan anak sulungnya ketika ditemui BH semalam. 

Beliau terpanggil berkongsi pengalaman hidupnya untuk iktibar kepada pasangan Islam lain susulan pendedahan BH Sabtu lalu berhubung 70 peratus kes perceraian berpunca daripada penderaan mental suami.


TEMURAMAH suami yang didera secara mental, sambil ditemani ibu dan anaknya. - Foto Surianie Mohd Hanif

Bapa kepada dua anak itu, mendakwa masalah kesihatan dihadapinya ditambah dengan sikap isteri mengabaikan tanggungjawab, membuatkan anak-anak mereka terabai.

"Demi kebaikan, anak-anak diserahkan untuk jagaan ibu bapa kerana saya bimbang dalam keadaan fikiran celaru dan tertekan, sudah tentu kita tidak boleh membuat sebarang keputusan dengan betul, apalagi peranan sebagai bapa dan suami.

"Selepas gagal pulih menerusi perubatan moden, saya beralih kepada rawatan tradisional tetapi semuanya tidak berhasil sehinggalah seorang penyelidik yang sering berurusan di tempat kerja, menyarankan supaya mengamalkan zikir ayat al-Quran tertentu membantu pemulihan yang dirasai sejak kebelakangan ini," katanya.

Sementara itu, ibu mangsa yang berusia 53 tahun, mendakwa turut sedih melihat perlakuan menantu terhadap anaknya yang dianggap tidak menghormati suami.

"Dalam satu insiden, menantu saya mengugut mahu menghentak kepala anak saya menggunakan pasu bunga kerana menganggap anak saya berpura-pura sakit dan tiada selera makan," katanya.


ABDUL bersama anaknya. - Foto Surianie Mohd Hanif

Isteri bijak sandiwara, buatkan suami merana - netizen

NETIZEN berbalah pendapat berhubung isu penderaan suami yang dikenal pasti menjadi punca sebahagian besar kes perceraian dalam kalangan pasangan Islam negara ini.

Walaupun mengakui penderaan mental dialami kaum lelaki, tetapi netizen tidak nampak keupayaan memperoleh penyelesaian yang tuntas tetapi melihat ia suatu isu yang perlu ditangani.

Di sebalik simpati kepada suami yang didera, netizen cenderung menyalahkan kaum lelaki atas kejadian itu dengan mendakwa golongan wanita mempunyai sebab kukuh melakukan sedemikian.

Malah, dalam rakaman video kejutan mengenai buli di antara lelaki dan perempuan yang disebar menerusi media sosial juga, menunjukkan masyarakat umumnya cenderung membela dan tampil membantu kaum wanita apabila melihat mereka dibuli atau dikasari lelaki.

Situasi sebaliknya berlaku, apabila masyarakat kelihatan boleh menerima dan tidak mengendahkan apabila melihat ada wanita memarahi atau memukul wanita di khalayak umum.

Pemilik akaun Facebook, Putera Tuah, yang berkongsi video kejutan itu, menulis ungkapan.... orang awam berpusu-pusu menolong perempuan apabila melihat dia dibelasah tetapi buat tidak tahu apabila wanita memukul lelaki.

Netizen, Mustafa Ekhsan, menyifatkan penderaan suami berlaku kerana lelaki biasanya malu untuk mengakui kelemahan dan keaiban sendiri.

Pemilik akaun Facebook, Noor Lubna, mendakwa sering melihat pasangan muda bergaduh di tempat awam.

"Ada isteri meleteri suami di kedai makan..... juga isteri yang 'tag' suami dalam post seolah 'membahasakan' suami di hadapan orang. Penderaan tidak terhad kepada fizikal sahaja," dakwanya.

Netizen, Samak Tia Joha Joe, berpendapat wanita pandai bersandiwara ketika prosiding mahkamah untuk menarik simpati.

"Wayang depan hakim keluar air mata tapi di rumah siap panggil samseng nak pukul suami. Isteri samseng punca perceraian. Sediakan payung sebelum hujan," katanya.

Kai Mikyel pula berpendapat, wujud kementerian dan banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membela hak wanita di negara ini tetapi tiada kementerian atau pertubuhan untuk membela hak lelaki.

"Sebab itu kita lihat lelaki semakin mundur dan paling ketara kaum wanita lebih ramai di IPTA berbanding lelaki. Kami mahu kementerian atau NGO diwujudkan bagi membantu kami seperti kes buli oleh isteri, dah banyak kes berlaku tapi tiada siapa bantu," katanya.

Berita Harian X