Ahad, 3 Januari 2016 | 4:38pm

ISAF iktiraf kemampuan Malaysia sebagai penganjur


SEBAHAGIAN peserta memulakan cabaran pada Kejohanan Layar Remaja Dunia Persekutuan Pelayaran Antarabangsa (ISAF) 2015. - Foto BERNAMA

LANGKAWI: Persekutuan Pelayaran Antarabangsa (ISAF) percaya Malaysia mampu menganjurkan kejohanan bertaraf dunia selepas kejayaan menganjurkan Kejohanan Layar Remaja Dunia ISAF 2015 edisi ke-45.

Naib Presiden ISAF, Li Quanhai, berkata penganjuran kejohanan remaja itu berlangsung tanpa sebarang masalah besar dan memuji Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA) yang diterajui presidennya, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim atas kecekapan mereka.

"Melihat kepada kejayaan penganjuran kali ini, saya yakin Malaysia mampu menganjurkan lagi kejohanan pelayaran bertaraf dunia seumpama ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kompleks Sukan Perahu Layar Kebangsaan di sini hari ini.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Pelayaran Asia (ASAF), Dr Malav Sharoff berkata pemilihan Langkawi sebagai gelanggang kejohanan kali ini amat tepat kerana faktor geografinya yang sesuai untuk sukan tersebut.

"Saya lihat Langkawi amat sesuai untuk sukan perahu layar, malah ia lebih baik berbanding sesetengah negara di Eropah", katanya.

Beliau berkata kemesraan rakyat di pulau ini juga menjadi faktor mengapa Langkawi adalah antara destinasi terbaik untuk penganjuran seperti ini.

Kejohanan ISAF 2015 mendapat penyertaan tertinggi dalam sejarah penganjurannya apabila seramai 424 pelayar dari 76 negara menyertainya. - BERNAMA

Berita Harian X