Khamis, 31 Disember 2015 | 7:47pm

Pemandu, kelindan maut lori dihempap pokok

KEADAAN lori yang terbabit dalam kemalangan di lebuh raya AMJ dekat Bachang, hari ini. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

MELAKA: Pemandu dan kelindan lori maut selepas kenderaan mereka dihempap pokok tumbang di Lebuh Alor Gajah - Melaka Tengah - Jasin (AMJ) Bachang, berhampiran persimpangan lampu isyarat Bachang, di sini, petang ini.

Dalam kejadian itu jam 2.45 petang, pemandu Toh Lai Heng, 63, dan kelindannya Faizal Keliwon, 41, maut di tempat kejadian akibat tersepit di tempat duduk masing-masing.

Nahas dipercayai berlaku ketika angin kencang menyebabkan pokok yang berada di kiri bahu jalan tiba-tiba tumbang menimpa lori mereka yang sedang melewati lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah, berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka (HM) untuk bedah siasat.

Katanya, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan orang awam yang melihat kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Kubu Pegawai Bomba Kanan II Khairudin Atan, berkata sebaik menerima panggilan kecemasan jam 2.48 petang, dua jentera bomba masing-masing dari BBP Jalan Kubu dan BBP Tangga Batu dikejarkan ke lokasi.

Katanya, sejurus tiba di lokasi kejadian, kedua-dua mangsa ditemui tersepit pada tempat duduk masing-masing akibat bumbung lori remuk dihempap batang pokok berkenaan.

 "Bomba terpaksa memotong dan mengalihkan batang pokok terlebih dahulu sebelum berjaya mengeluarkan mangsa kira-kira 10 minit kemudian.

"Bagaimanapun, kedua-dua mereka kemudian disahkan sudah meninggal oleh pegawai perubatan Hospital Melaka yang tiba di lokasi kejadian sebelum mayat dihantar ke hospital," katanya di lokasi.

Berita Harian X