Rabu, 30 Disember 2015 | 7:11pm

KBS bakal naik taraf Kompleks Perahu Layar


MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin. - Foto Yazit Razali

LANGKAWI: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menaik taraf beberapa kelengkapan sedia ada di Kompleks Perahu Layar Kebangsaan di sini sebagai persediaan untuk menghadapi Sukan SEA 2017, kata Menteri berkenaan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata walaupun kemudahan di kompleks itu agak memuaskan, beberapa perkara perlu ditambah baik.

"Terutamanya tempat kawasan bot diturunkan (yang menyulitkan) apabila air surut. Platformnya perlu dipanjangkan (lagi)," katanya ketika ditemui media selepas melawat kompleks itu hari ini.

Kompleks berkenaan sedang digunakan sebagai lokasi Kejohanan Sukan Layar Remaja Dunia Persekutuan Pelayaran Antarabangsa (ISAF) 2015 yang akan berlangsung sehingga 4 Januari depan.

Khairy turut mendengar taklimat daripada pengarah kejohanan tersebut Megat Fairuz Khairudin yang juga Setiausaha Kehormat Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA). - BERNAMA

Berita Harian X