Selasa, 29 Disember 2015 | 3:12pm

Mayat reput pekerja kapal kes mati mengejut - Polis


ANGGOTA polis forensik tiba bagi menyiasat kes kematian seorang pekerja kapal dengan kesan darah di kepala di rumahnya di Batu 21 1/4, Kampung Pulau Sebang, Alor Gajah, Ahad lalu. - Foto ihsan Pembaca

ALOR GAJAH: Polis mengesahkan kematian seorang pekerja kapal dengan kesan darah di kepala di rumahnya di Batu 21 1/4, Kampung Pulau Sebang, di sini, Ahad lalu sebagai kes mati mengejut.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Muhamad Ismail Muhamad Yusuf, berkata bedah siasat ke atas mangsa mendapati punca kematian adalah disebabkan pendarahan usus.

"Hasil laporan bedah siasat yang dilakukan mendapati, mangsa menghidap masalah pendarahan usus dan meninggal dunia kira-kira tiga hari sebelum mayatnya ditemui.

"Kesan darah yang ditemui bukan berpunca daripada kepala mangsa, tetapi mangsa dipercayai mengalami muntah darah sebelum meninggal dunia.

"Selepas hasil laporan bedah siasat diterima, polis mengklasifikan kes sebagai mati mengejut," katanya ketika dihubungi, di sini, sebentar tadi.

BH pada Isnin lalu melaporkan, mayat Mohd Ridwan Tambi Chik, 37, ditemui terbaring di depan bilik oleh ibunya yang baru tiba dari Kuala Lumpur, kira-kira jam 10 pagi.

Ibu mangsa berusia 66 tahun yang curiga dengan bau busuk dari dalam rumah terkejut melihat anak keempat daripada lima beradik itu terbaring dengan keadaan mayat sudah reput dan berbau busuk.

Wanita berkenaan kemudian membuat laporan polis.

Berita Harian X