Selasa, 29 Disember 2015 | 2:58pm

Sijil Pendaftaran Sementara graduan perubatan selepas terima tawaran bekerja


KETUA Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA: Sijil Pendaftaran Sementara bagi graduan perubatan hanya akan dikeluarkan kepada mereka yang dipilih dan ditawarkan kerja sebagai Pegawai Perubatan Siswazah (Gred UD 41).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Perubatan Malaysia (MPM) pada 15 Disember lalu selepas mendapati berlaku 'backlog' Pegawai Perubatan Siswazah, yang sedang menjalani latihan di hospital, menyebabkan graduan perubatan terpaksa menunggu lama untuk menjalani latihan siswazah.

Katanya, ketika ini, terdapat sejumlah Pegawai Perubatan Siswazah yang sedang menjalani latihan siswazah di hospital Kementerian Kesihatan gagal menyempurnakan latihan siswazah dalam tempoh yang ditetapkan dan terpaksa melalui pemanjangan tempoh latihan atas pelbagai sebab, antaranya masalah kompetensi dan juga masalah kesihatan.

"Pemanjangan tempoh latihan siswazah menyebabkan 'backlog' Pegawai Perubatan Siswazah yang sedang menjalani latihan di hospital dan kemampuan untuk mengisi kekosongan jawatan gred UD 41 bagi tujuan latihan menjadi amat terhad.

"Ini menyebabkan graduan perubatan terpaksa menunggu bagi tempoh yang lebih lama bagi mendapat peluang untuk dilantik menjalani latihan siswazah.

"Justeru, selaras dengan peruntukan Seksyen 12(1)(b) Akta Perubatan 1971, MPM telah menetapkan bahawa proses pengeluaran Sijil Pendaftaran Sementara kepada graduan perubatan diselaras dengan keperluan Seksyen 12(1)(b) Akta Perubatan 1971.

"Ini bermakna Sijil Pendaftaran Sementara bagi tujuan menjalani latihan bagi memenuhi keperluan di bawah Seksyen 13 Akta Perubatan 1971 hanya akan dikeluarkan kepada mereka yang dapat menunjukkan bukti mereka telah dipilih dan ditawarkan untuk bekerja sebagai Pegawai Perubatan Siswazah bagi memenuhi peruntukan Seksyen 13(2)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Noor Hisham yang juga Yang Dipertua MPM berkata, bagi tujuan itu, tatacara pengurusan permohonan Sijil Pendaftaran Sementara dikaji semula, yang mana semua permohonan yang layak akan diberikan satu surat memaklumkan mereka layak dipertimbangkan.

Beliau berkata, penyelarasan proses pengeluaran Sijil Pendaftaran Sementara kepada graduan perubatan dilakukan bagi tujuan mengemaskini proses dan juga bagi memastikan pematuhan kepada Akta Perubatan 1971.

Berita Harian X