Sabtu, 11 Oktober 2014 | 5:00am

Hikmah Al-Quran: Rezeki berbeza uji keimanan

HURAIAN surah Al-Baqarah: Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Makkah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat di antara mereka.

Allah berfirman: (Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali." (Surah al-Baqarah, ayat 126)

Antara watak Nabi Ibrahim yang sentiasa dipaparkan dalam al-Quran ialah Baginda banyak berdoa kepada Allah SWT. Sebenarnya doa adalah permohonan seseorang hamba kepada Tuhannya untuk memohon perlindungan dan pertolongan-Nya.

Doa ekspresi ketidakmampuan

Doa adalah ekspresi ketidakmampuan dan kefakiran makhluk kepada Allah SWT serta ikrar tidak ada kekuatan serta daya kecuali dengan pertolongan Allah SWT. Ia simbol daripada perhambaan serta berasakan diri hina dan lemah sebagai manusia di hadapan Allah SWT.

Allah SWT dalam ayat ini menggambarkan suasana awal Nabi Ibrahim bersama keluarganya, keadaan Makkah ketika itu bumi yang tandus, kering dan tidak berpenghuni. Dalam suasana sebegitu, Nabi Ibrahim berdoa kepada Allah SWT supaya dikurniakan bumi Makkah satu bumi yang aman damai.

Pada masa sama, Makkah sebagai negeri yang mewah dengan limpahan rezeki daripada pelbagai jenis.

Begitulah keyakinan Nabi Ibrahim terhadap Allah SWT dan kekentalan iman yang luar biasa, Baginda memohon serta berdoa sesuatu yang agak mustahil pada pandangan manusia biasa.

Sheikh Al-Maraghi menyebut dalam tafsirnya, Nabi Ibrahim memohon kepada Allah SWT supaya Baitullah menjadi tempat aman daripada gangguan penguasa yang zalim dan bencana ditimpakan oleh Allah SWT ke atas negeri lain seperti gempa bumi, banjir, disebabkan kemurkaan Allah SWT.

Berkat doa Nabi Ibrahim, penghuni Makkah juga disediakan rezeki daripada pelbagai jenis buah-buahan sama ada dengan cara menanamnya berhampiran dengan Baitullah atau mendatangkannya dari daerah di sekitarnya.

Apabila Nabi Ibrahim berdoa supaya hanya orang yang beriman sahaja boleh menikmati limpahan rezeki itu, maka Allah SWT dengan tegas menyatakan semua makhluk akan menerima rezeki tanpa mengira sama ada mereka beriman atau tidak.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Tiap-tiap golongan dari keduanya, golongan dunia dan golongan akhirat Kami hulurkan kepada mereka dari pemberian Tuhanmu (wahai Muhammad); dan tiadalah pemberian Tuhanmu itu tersekat (dari sesiapapun)." (Surah al-Isra', ayat 20)

Kesenangan kepada yang kufur bersifat sementara

Ini disebabkan kesenangan diberikan kepada yang kufur dan sombong itu hanya berbentuk sementara dan terbatas dengan usia yang pendek. Akhirnya mereka akan kembali ke neraka iaitu seburuk-buruk tempat kembali.

Mereka akan diseret ke neraka walaupun daripada keturunan Nabi Ibrahim, dahulunya kaya raya dan pernah memiliki kedudukan serta pengaruh waktu berada di dunia.

Allah SWT tidak menjadikan persoalan rezeki dan kurniaan kesenangan kehidupan satu bentuk motivasi untuk manusia beriman kerana nikmat iman adalah satu anugerah cukup besar yang diberikan kepada hamba-Nya.

Al-Quran menggambarkan kecelaruan fikiran orang yang kufur kepada Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: "Dan sebaliknya apabila dia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (ia tidak bersabar bahkan ia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: Tuhanku telah menghinakan daku!" (Surah al-Fajr, ayat 16)

Sebenarnya Allah SWT melapangkan atau menyempitkan rezeki kepada siapa dikehendaki-Nya. Justeru, apabila seseorang itu dimurahkan rezeki bukan bermakna Allah SWT cinta kepadanya atau dekatnya dia kepada-Nya.

Begitu juga apabila seseorang itu disempitkan rezeki, bukan kerana Allah SWT benci kepadanya. Ramai menyangka rezeki itu hanya harta benda, wang ringgit dan kemewahan hidup. Hakikatnya, rezeki memberi maksud setiap apa yang dapat dimanfaatkan manusia daripada kurniaan Allah SWT.

Setiap manusia diberi pemberian yang berbeza oleh Allah SWT, sama ada dari sudut kemahiran, kepandaian, ilmu, bakat dan sebagainya. Ramai yang tidak memahami hikmah Allah SWT mengenai perbezaan rezeki yang diberi kepada hamba-Nya menyebabkan mereka senang lupa kepada Allah SWT.

Penulis ialah perunding motivasi Islam Fitrah Power Resources

Berita Harian X