Ahad, 27 Disember 2015 | 12:09am
PENGUNJUNG Air Terjun Sungai Kooi. - Foto Saifullizan Tamadi.
DENGAN ketinggian kira-kira 50 meter, Air Terjun Sungai Kooi menyajikan pemandangan yang sangat indah, lebih-lebih lagi apabila limpahan airnya dipanahi mentari. - Foto Saifullizan Tamadi.

Pesona Air Terjun Sungai Kooi


PEMANDANGAN Air Terjun Sungai Kooi. - Foto Saifullizan Tamadi.

KABUS daripada titisan Air Terjun Sungai Kooi menghadirkan rasa dingin dan segar.

Tambahan pula air terjun ini berada dalam belantara tebal iaitu Hutan Royal Belum di Gerik, Perak.

Desiran angin sepoi-sepoi bahasa di antara pelbagai jenis pokok, kicauan pelbagai spesies burung dan sesekali suara riang-riang bersahut-sahutan, sudah cukup mendamaikan.

Itulah perasaan penulis apabila pertama kali melihat dan berada di Air Terjun Sungai Kooi.

Memang amat sukar bagi penulis untuk bercerita dan menggambarkan keindahan yang Sungai Kooi, satu lokasi di Hutan Royal Belum.

Air terjun itu sendiri adalah antara yang paling menarik dalam hutan ini.


UNTUK ke Air Terjun Sungai Kooi, pengunjung perlu meredah hutan, menuruni lurah dan mendaki tanah tinggi. - Foto Saifullizan Tamadi.

Air Terjun Sungai Kooi juga memang sesuai untuk pengembara dan pelancong yang meminati alam.

Untuk tiba di air terjun ini, setiap pelancong atau pelawat perlu meredah hutan, menuruni lurah dan mendaki tanah tinggi.

Dalam kunjungan ke hutan itu bulan lalu, penulis bukan sahaja menikmati keindahan Air Terjun Sungai Kooi, tetapi juga bunga Rafflesia yang banyak ditemui di kawasan ini.

Perjalanan ke lokasi air terjun itu dari jeti bot, tidak jauh, hanya sekitar 20 minit hingga 25 minit, namun sepanjang perjalanan itu kita akan melalui jalan yang berbatu, merentasi anak sungai dan disajikan dengan pemandangan hutan tropika yang indah dan luar biasa

Di situ, kita akan melihat pelbagai jenis flora dan fauna yang sangat unik...sesetengahnya memang payah untuk ditemui, antaranya 'lantern bug', 'tetrastigma vine' dan 'fig trees'.

Kita juga berpeluang melihat beberapa spesies pokok herba serta mendengar bunyi serangga yang unik.


PENGUNJUNGjuga berpeluang melihat pokok Medang terbesar dalam perjalanan ke Air Terjun Sungai Kooi. - Foto Saifullizan Tamadi.

Bagi anda yang kurang bersedia untuk melalui perjalanan itu, tidak perlu khuatir kerana hampir semua laluan ke lokasi disediakan tali, jadi sangat mudah untuk sampai ke lokasi.

Dalam perjalanan ini juga, setiap pelawat akan berjumpa pokok Medang terbesar dan pokok Kasai yang unik serta jarang ditemui.

Setelah sampai di lokasi Air Terjun Sungai Kooi, anda pasti akan seronok melihat pemandangan sekitar yang sangat menakjubkan.

Biarpun air terjun itu tidak deras, dengan kedudukannya yang agak tinggi, kira-kira 50 meter, membuatkan tumpahan air terjunnya sangat menarik, ditambah pula apabila dipanah cahaya mentari.

Air terjunnya yang jatuh umpama titisan air hujan dan apabila ditembusi cahaya menjadikannya umpama mutiara berguguran.

Jika ada angin yang bertiup, sesiapa yang berada berhampiran, pasti akan merasai tempias air terjun ini.

Keadaan ini menyebabkan pengunjung leka sehingga ada yang seolah-olah tidak mahu balik ke jeti dan menikmati hidangan yang disediakan di rumah terapung di Kem Sungai Tiang.

Pemandangan di Tasik Tasik Temenggor pula, sama ada dari dalam rumah terapung atau bot laju yang dinaiki penulis sungguh mendamaikan.


PENGUNJUNG menaiki bot untuk ke Air Terjun Sungai Kooi. - Foto Saifullizan Tamadi.

Dari tasik ini, penulis menghayati keindahan Hutan Royal Belum yang masih suci kerana belum terusik, dipercayai berusia lebih 130 juta tahun, lebih tua daripada hutan hujan Amazon di Amerika Selatan dan hutan Congo di Afrika Tengah.

Dianggarkan terdapat 3,000 spesies flora, 64 spesies paku-pakis, 62 spesies tumbuhan berlumut dan 23 jenis ikan sungai yang hidup bebas dan liar, sekali gus menjadikan Royal Belum, khazanah negara tidak ternilai harganya.

Dalam kepelbagaian khazanah ini, ia juga adalah kawasan tumpuan burung enggang atau kenyalang, yang menjadi lambang kerajaan negeri Sarawak.

Renjer Perbadanan Taman Negeri Perak, Mohd Yusri Abdullah Sani, berkata di Asia terdapat 31 spesies burung enggang daripada lapan genera yang dikenal pasti dan daripada jumlah itu, 10 spesies daripada enam generasi boleh ditemui di Malaysia.

"Istimewanya, semua 10 spesies burung enggang yang ditemui di Malaysia, boleh dilihat di kawasan Royal Belum atau Hutan Simpan Temenggor.

"Di Sarawak pula, hanya lapan spesies enggang dan begitu juga dengan Sabah," katanya.

Keasyikan menikmati syurga alam ini bagaikan tidak lengkap sekiranya tidak melihat bunga terbesar di dunia, bunga Rafflesia atau juga dikenali sebagai pakma.

Ramai beranggapan bunga ini hanya boleh ditemui di hutan pergunungan di Sabah atau Sarawak, sedangkan Royal Belum juga menjadi platform terbaik melihat bunga itu.


AIR Terjun Sungai Kooi terletak di Hutan Royal Belum di Gerik, Perak. - Foto Saifullizan Tamadi.

Di sini, terdapat tiga spesies pakma iaitu Rafflesia Kerrii, Rafflesia Cantleyi dan Rafflesia Azlanii.

Bagaimana dalam perjalanan pulang, penulis dan rombongan ke jeti, gagal menemui bunga terbabit ekoran bukan musimnya.

Mohd Yusri berkata, sekuntum bunga Rafflesia yang belum berkembang berbentuk sebiji kobis.

Katanya, memang banyak Rafflesia di sekitar Air Terjun Sungai Kooi, namun sekarang bukan musimnya dan kemungkinan akan berkembang dalam masa dua atau tiga bulan lagi.

10 air terjun popular di Semenanjung:

1. Air Terjun Chemerung, Hulu Terengganu

2. Air Terjun Jelawang, Jelawang, Kelantan

3. Air Terjun Lata Beringin, Kelantan

4. Air Terjun Sungai Pandan, Pahang

5. Air Terjun Sungai Gabai, Hulu Langat, Selangor

6. Air Terjun Telaga Tujuh, Langkawi

7. Air Terjun Kota Tinggi, Johor

6. Lata Kinjang, Tapah, Perak

7. Air Terjun Cameron

8. Air Terjun Sekayu, Kuala Berang, Terengganu

9. Air Terjun Lata Bukit Hijau, Kedah

10. Air Terjun Durian Perangin, Langkawi

Berita Harian X