Khamis, 24 Disember 2015 | 8:34pm

Iskandar Zulkarnain belum mampu gugat Chong Wei

DATUK Lee Chong Wei beraksi menentang Iskandar Zulkarnain Zainuddin di Sports Arena Sentosa, Kuala Lumpur, sebentar tadi. - Foto Owee Ah Chun

KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei membuktikan belum ada pemain lain di Malaysia yang mampu menewaskannya.

Juara baharu kebangsaan, Iskandar Zulkarnain Zainuddin yang diharapkan mampu sekurang-kurangnya memberikan cabaran sengit, juga gagal berbuat demikian.

Pemain nombor lima dunia, Chong Wei, tidak perlu bekerja keras apabila mudah menundukkan Iskandar 11-6, 11-5, 11-5 dalam pertembungan membabitkan Kelab Badminton Petaling Jaya (PJBC) dan Kelab Badminton Petaling (Petaling BC) bagi saingan Purple League di Sports Arena Sentosa, di sini, sebentar tadi.

Chong Wei mewakili PJBC, manakala Iskandar Petaling BC.

Jurang jelas terlalu besar antara Chong Wei dengan Iskandar, yang menganggap pemain berusia 33 tahun itu sebagai idolanya.

Bagaimanapun, peningkatan dipamerkan Iskandar, 24, sepanjang tahun 2015 memberikan sinar dalam arena badminton tanah air.

Dia setakat ini berjaya meraih tiga gelaran antarabangsa iaitu Siri Antarabangsa Singapura (Ogos), Siri Antarabangsa Poland (September) dan Cabaran Antarabangsa Switzerland (Oktober).

Selain itu, bagi saingan domestik dia memenangi Terbuka Perak (Julai) dan terbaharu Grand Prix (GP) Akhir Sirkit Kebangsaan.

Berita Harian X