Khamis, 24 Disember 2015 | 8:31pm

36 bayi Maulidur Rasul lahir di HSNZ

JURURAWAT bergambar bersama sebahagian 36 bayi Maulidur Rasul di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala terengganu. - Foto Aswadi Alias
JURURAWAT bergambar bersama sebahagian 36 bayi Maulidur Rasul di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala terengganu. - Foto Aswadi Alias

KUALA TERENGGANU: Seramai 36 bayi Maulidur Rasul dilahirkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, dengan kelahiran pertama pada jam 7.08 malam semalam.   

Bayi perempuan pertama seberat 2.8 kilogram itu dilahirkan di HSNZ, sebaik selesai azan Maghrib.

Ibu bayi berkenaan, Romiza Zakaria, 23, dari Kampung Tok Jembal, Kuala Nerus, berkata beliau bersyukur dan rasa bertuah dengan kelahiran cahaya mata pertamanya pada hari keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.   

"Saya dijangka melahirkan pada 6 Januari depan, namun Alhamdulillah saya cukup gembira apabila cahaya mata saya dilahirkan pada tanggal sama dengan kelahiran Nabi Muhammad SAW.

"Saya berharap bayi ini akan menjadi anak yang solehah dan boleh menjadi pemimpin serta kakak yang berguna kepada adik-adiknya akan datang, Insya-Allah," katanya ketika ditemui di HSNZ, petang tadi.

Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Mohd Zubir Embong; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Osman Muda dan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohamad Omar menziarah ibu dan bayi Maulidur Rasul di HSNZ. 

Mohd Zubir berkata, seramai 14 bayi lelaki dan 18 bayi perempuan dilahirkan di hospital berkenaan sehingga jam 6 petang tadi. 

"Alhamdulillah, semua bayi yang lahir di negeri ini akan menerima insentif RM100 seorang sumbangan daripada kerajaan negeri," katanya.

Mohd Zubir berkata, pihaknya berpuasa hati dan gembira kerana segala kemudahan baru di Unit Ibu dan Bayi HSNZ dapat memberi perkhidmatan terbaik dan keselesaan kepada ibu dan bayi.

Berita Harian X