Khamis, 24 Disember 2015 | 12:03am
WARTAWAN dan penulis Algeria, Kamel Daoud.
WARTAWAN dan penulis Algeria, Kamel Daoud.

Kagumi wacana balas novelis Algeria

ZAKARIYA meluahkan kekagumannya terhadap karya Kamel pada acara Borak Buku di Mirama Cafe, Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
ZAKARIYA meluahkan kekagumannya terhadap karya Kamel pada acara Borak Buku di Mirama Cafe, Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

SELEPAS 71 tahun sasterawan Perancis, Albert Camus menuliskan L'Etranger atau The Stranger, keupayaan wartawan dan penulis Algeria, Kamel Daoud dalam menghasilkan karya sebagai reaksi terhadap novel itu sangat mengagumkan.

Kamel menerusi The Mersault Investigation yang diterbitkan pada tahun 2013, berjaya merangkul tiga hadiah sastera utama Perancis, iaitu Prix FrancoisMauriac, Prix des Cinq Continents dela Francophonie dan Prix Goncourt 2015 kategori novel sulung.

The Stranger yang selalu dirujuk sebagai wacana pemikiran Camus yang absurd, menampilkan watak utamanya, Meursault yang sepatutnya pulang ke Algeria untuk menghadiri majlis pengebumian ibunya tetapi hanya menghabiskan masa dengan berfoya-foya.

Malah, Meursault kemudian membunuh seorang lelaki Arab tidak diberikan nama di tepi pantai semata-mata kerana matanya silau dengan terik matahari.

Novel nipis dibahagi kepada dua bahagian itu dengan bahagian kedua menyorot kisah Meursault disiasat dan dibawa ke mahkamah atas tuduhan membunuh.

Sementara itu, karya Kamel yang dianggap sebagai usahanya untuk memberi keadilan kepada watak lelaki Arab dalam The Stranger, malah beliau menamakan watak itu sebagai Musa, manakala sudut pandangan pula menggunakan watak adiknya, Haron.

Suara Algeria merdeka

Kekaguman terhadap karya Kamel sebagai wacana balas pada novel Camus itu diluahkan oleh Penerima Hadiah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2010 dari Thailand, Zakariya Amataya pada acara Borak Buku di Mirama Cafe, Wisma Mirama, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

"Ramai pengarang sebelum ini pernah cuba berbuat demikian tetapi ia tidak berjaya seperti Kamel. Watak lelaki Arab dalam karya Camus yang dinamakan Musa dalam novel Kamel itu sebenarnya adalah suara Algeria merdeka yang mengkritik penjajahan Perancis.

"Saya melihat The Mersault Investigation membawa pembaca kepada sudut pandangan baharu, iaitu watak lelaki tanpa nama itu bukan hanya seorang individu Arab, sebaliknya sejumlah bangsa Arab yang mati mempertahankan tanah air daripada penjajahan Perancis," katanya pada sesi yang dipengerusikan oleh Ahli Jawatankuasa Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Muhammad Lutfi Ishak.

The Mersault Investigation dibina dengan sudut pandangan Haron berikutan kematian Musa dan menyorot bagaimana ibu mereka sukar menerima kematian anaknya.

ANTARA hadirin majlis pelancaran buku 'On Justice And The Nature Of Man', karya Syed Muhammad Naquib. - Foto Rosela Ismail
ANTARA hadirin majlis pelancaran buku 'On Justice And The Nature Of Man', karya Syed Muhammad Naquib. - Foto Rosela Ismail

Watak asal lebih dekat

Kesungguhan Kamel untuk memastikan karya itu sampai kepada khalayaknya terlihat apabila ia diterbitkan dalam bahasa Perancis di Algeria pada Oktober 2013 sebelum ia dipasarkan di Perancis setahun kemudian.

Pemilihan dua novel itu sebagai subjek perbincangan Zakariya menimbulkan tanda tanya apakah kedudukannya sebagai penulis Melayu Thailand menyebabkan watak Musa sangat dekat kepada dirinya?

Bagaimanapun, Zakariya menolak tanggapan itu, sebaliknya menyatakan sebab pemilihan dua novel terbabit adalah kerana beliau meminati karya Camus dan mengagumi Kamel, sekali gus tidak terkait dengan latar belakangnya yang berasal dari Narathiwat.

"Saya berasal dari Selatan Thailand, berbangsa Melayu dan satu-satunya setakat ini, penerima SEA Write dari Thailand yang beragama Islam. Namun, saya tidak merasakan saya seperti lelaki Arab tanpa nama itu ketika membaca The Stranger, sebaliknya lebih merasakan watak Meursault itu mewakili saya," katanya.

Sementara itu dalam konteks bahasa Thai, Zakariya berkata, generasi muda Melayu di Selatan Thailand terdidik dengan sistem pendidikan Thailand dan bertutur bahasa Thailand.

Tidak hakis identiti Melayu

"Masih ada yang bercakap dalam bahasa Melayu misalnya generasi tua yang tidak tahu bahasa Thailand, tetapi golongan muda ramai yang sudah menerima pendidikan yang diberikan kerajaan.

"Saya melihat kebaikan dalam sistem pendidikan yang dibawa oleh kerajaan misalnya penambahan golongan profesional dalam kalangan Melayu Islam yang menjadi perkembangan baik.

"Pada masa sama, saya berasakan ia tidak akan menghakis identiti kemelayuan dalam diri masyarakat kami di tiga wilayah Selatan Thailand," katanya pada acara anjuran Biro Penulis Muda PENA.

Zakariya sendiri mengakui beliau lebih selesa berkarya dalam bahasa Thai dan tidak fasih berbahasa Melayu serta tidak boleh menulis dalam bahasa Melayu sebaik rakan penulis lain di Selatan Thailand seperti Abdul Razak Panaemalae.

"Apabila diminta untuk menulis mengenai senario Selatan Thailand, saya tidak boleh berbuat begitu. Jika saya menuliskannya, ia mengambil masa yang lama untuk disudahkan kerana menulis itu datang dari hati," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X