Jumaat, 10 Oktober 2014 | 5:43pm

Subsektor kewangan, insurans berkembang sederhana dalam tempoh separuh pertama tahun ini

KUALA LUMPUR: Subsektor kewangan dan insurans berkembang sederhana kepada 1.5 peratus dalam tempoh separuh pertama tahun ini, berbanding tiga peratus pada tempoh yang sama tahun lalu.

Segmen kewangan meningkat 1.4 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, disebabkan pertumbuhan yang lebih perlahan dalam pendapatan faedah bersih dan pendapatan berasaskan fi, demikian menurut Laporan Ekonomi 2014/2015 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini.

Laporan itu dikeluarkan sempena pembentangan Bajet 2015 hari ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang juga Menteri Kewangan.

Dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, jumlah permohonan pinjaman menguncup 1.9 peratus kepada RM463 bilion manakala jumlah pinjaman yang diluluskan menurun 2.4 peratus kepada RM223 bilion, sebahagiannya disebabkan oleh langkah kehematan makro untuk mengawal hutang isi rumah.

Pertumbuhan segmen insurans pula menyederhana kepada 1.8 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berikutan prestasi yang lebih perlahan dalam perniagaan insurans hayat.

Dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, premium baharu insurans hayat berkurang secara marginal sebanyak 0.6 peratus kepada RM4.7 bilion disebabkan oleh penurunan sedikit dalam premium insurans hayat biasa.

Mengenai prospek, pertumbuhan subsektor kewangan dan insurans dijangka kekal pada 1.8 peratus tahun ini.

Sementara itu, pelbagai langkah yang diperkenalkan untuk membendung kenaikan harga hartanah dan aktiviti spekulasi telah mula menunjukkan kesan.

Perkara ini dicerminkan oleh peningkatan harga hartanah yang lebih perlahan sebanyak 8.1 peratus manakala transaksi berkurang sebanyak 2.7 peratus dalam tempoh separuh pertama tahun ini.

Segmen perkhidmatan perniagaan pula mencatatkan pertumbuhan sebanyak 8.9 peratus bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, didorong sebahagian besarnya oleh permintaan yang tinggi untuk Perkhidmatan profesional terutamanya perkhidmatan kejuruteraan dalam sektor pembinaan serta perkhidmatan komputer.

Pertumbuhan sektor hartanah dan perkhidmatan perniagaan dijangka kekal 7.5 peratus pada tahun ini.

- BERNAMA

Berita Harian X