Rabu, 23 Disember 2015 | 8:12am

Usia bukan penghalang untuk terus beraksi: Shahrizan

PEMAIN Pahang, Shahrizan Salleh. - Foto Mohd Rafi Mamat.
PEMAIN Pahang, Shahrizan Salleh. - Foto Mohd Rafi Mamat.

KUANTAN: Perpindahan beramai-ramai pemain Pahang ternyata membuka peluang kepada pemain senior, Shahrizan Salleh untuk terus kekal membawa cabaran Tok Gajah musim depan.

Pada usia 34 tahun, pemain kelahiran Pekan itu tetap setia menabur bakti untuk musim ke-15 dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) walaupun pernah menerima tawaran beberapa pasukan lain sebelum ini.

"Saya akan terus bersama skuad Tok Gajah bersaing dalam Liga Malaysia (Liga M) selagi khidmat diperlukan walaupun ada pihak berpendapat sudah tiba masanya saya bersara.

"Saya hanya akan bersara jika PBNP tidak lagi berminat dengan saya, selagi tenaga saya diperlukan saya pasti menerima tawaran bermain untuk pasukan Tok Gajah," katanya.

Shahrizan berkata, faktor usia bukan penghalang kepadanya untuk terus memberikan cabaran kepada pemain muda pada saingan Liga M musim depan.

"Selagi ada kesungguhan di situ pasti ada kejayaan," katanya.

Dia yang pernah beraksi dengan pasukan Shahzan Muda berkata, kehadiran beberapa pemain muda seperti Aziz Ismail dan Matthew Davies ternyata menjadi saingan kepadanya di posisi pertahanan kiri. 

Katanya, kepercayaan diberikan PBNP musim depan akan digunakan sebaik mungkin bagi memastikan peluang terbaik diberikan itu dapat memuaskan hati pengurusan PBNP terutama jurulatih.

Mengenai kehilangan ramai pemain utama Tok Gajah, Shahrizan berkata, lumrah bola sepak profesional apabila pemain akan menerima tawaran yang difikirkan menarik dan menguntungkan mereka.

Berita Harian X