Selasa, 22 Disember 2015 | 11:12pm

MAB, Airpas Aviation jalin hubungan urus kos

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines, Christoph Muller.

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines Bhd (MAB) mengumumkan hubungan jangka panjang dengan Airpas Aviation, yang mana ia akan menggunakan penyelesaian pengurusan kos unik milik syarikat dari Jerman itu bagi mengawal dan mengurangkan kos operasi langsungnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines, Christoph Muller, berkata Airpas akan menyokong MAB dalam usaha untuk mendapatkan semula keuntungan dengan memperkemaskan pemprosesan, membolehkan kawalan berpusat bagi kontrak, bajet dan debit syarikat penerbangan itu serta mengurangkan perbelanjaan yang berlebihan.

"Tambahan pula, MAB akan menggunakan penyelesaian Airpas untuk mengubah proses dalaman daripada pihak pengurusan stesen sehingga kepada perolehan dan kewangan," kata Muller dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Airpas menjadi peneraju pasaran dalam sistem pengurusan kos dan laluan keuntungan untuk selama 12 tahun sekarang ini serta membantu syarikat penerbangan seperti Emirates dan Ryanair menangani kos operasi langsung serta proses kewangan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Airpas Aviation, Reinhold Renger, berkata pihaknya berasa sukacita dan mengalu-alukan Malaysia Airlines sebagai pelanggan pertamanya di Asia Tenggara, yang mencerminkan kepentingan rantau ini sebagai fokus pertumbuhannya.

"Ini menunjukkan keyakinan syarikat itu terhadap kepakaran perundingan dan perisian kami serta keuntungan melabur dalam Airpas," kata Renger. - BERNAMA

Berita Harian X