Selasa, 22 Disember 2015 | 3:37pm

Black cari protege ada suara, rupa jatuh nombor dua

HANIFAH Md Hanafiah atau lebih dikenali sebagai Black salah seorang mentor dalam rancangan Mentor Milenia. - Foto Zunnur Al Shafiq
HANIFAH Md Hanafiah atau lebih dikenali sebagai Black salah seorang mentor dalam rancangan Mentor Milenia. - Foto Zunnur Al Shafiq

KUALA LUMPUR: Sabtu ini, tiba giliran penyanyi, Black, untuk mencari anak didiknya yang akan berentap di pentas Mentor Milenia.

Terdahulu, Hazama, Azlan & The Typewriter dan Akim Ahmad sudah pun menemui tiga peserta terbaik masing-masing untuk merebut satu tempat sebagai protege mereka dalam program yang akan disiarkan menerusi TV3 itu.

Daripada tiga sesi uji bakat membabitkan artis berkenaan sebelum ini, lebih daripada 700 peserta hadir untuk membuktikan kemampuan masing-masing.

Semua uji bakat diadakan di Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, bermula jam 9 pagi hingga 5 petang.

Menurut Black, bagi berdepan saingan mentor lain dalam pertandingan itu, beliau memilih untuk mencari bakat baharu yang tidak semestinya kacak, tetapi memiliki vokal yang baik.

"Saya mengutamakan suara dalam pencarian anak didik. Soal paras rupa itu jatuh ke tempat kedua. Apa yang penting, mereka yang ingin ke sesi uji bakat bersama saya perlu bersedia dalam semua segi, terutama lagu," katanya.

Bagi menyertai rancangan terbabit, peserta hendaklah berusia antara 17 hingga 21 tahun, warga negara Malaysia, menyanyi secara solo, tidak terikat dengan sebarang kontrak dan boleh memberikan sepenuh komitmen terhadap program Mentor Milenia.

Peserta yang menghadiri uji bakat juga perlu membawa bersama-sama mereka kad pengenalan, gambar berukuran pasport atau 4R dan minus one lagu yang bakal mereka persembahkan untuk penilaian mentor.

Berita Harian X