Selasa, 22 Disember 2015 | 3:34pm

Star Wars dalam versi Tamil

KUALA LUMPUR: Star Wars: The Force Awakens, mencipta sejarah apabila muncul sebagai filem paling berjaya bagi tayangan hujung minggu, dengan pungutan berjumlah kira-kira RM1.07 bilion di Amerika Utara.

   

Mengikut Disney, filem terbabit mengatasi rekod Jurassic World terbitan Universal yang meraih RM894.29 juta ketika ditayangkan Jun lalu.

   

Filem lakonan Harrison Ford itu juga sudah memungut RM2.27 bilion di seluruh dunia, sejak membuka tayangannya pada peringkat antarabangsa, Khamis lalu. Ia memadam rekod Jurassic World yang memungut RM2.25 bilion di peringkat global bagi pungutan hujung minggu.

   

Kutipan pada peringkat antarabangsa karya arahan JJ Abrams ini sememangnya amat memberangsangkan, apatah lagi ia belum diputarkan di China, iaitu pasaran kedua terbesar dunia bagi industri filem.

   

Di Negara Tembok Besar itu, The Force Awakens hanya dapat ditonton mulai 9 Januari tahun depan.

   

Kini, filem terbabit memegang rekod kutipan terbesar bagi tayangan pembukaan hari Khamis, pungutan sehari paling tinggi, filem yang membuka tayangan pada Disember paling berjaya dan judul paling cemerlang bagi kutipan hujung minggu dalam sejarah.

   

Sementara itu, bagi peminat filem fiksyen sains berkenaan di negara ini yang ingin menontonnya dalam versi bahasa Tamil, mereka boleh berbuat demikian mulai 25 Disember.

   

Menerusi kenyataan dikeluarkan rangkaian pawagam GSC, lokasi yang dikhaskan untuk tayangan filem dengan alih suara bahasa Tamil itu ialah GSC Nu Sentral; GSC Quill City Mall; GSC Klang Parade Mall; GSC IOI Mall; GSC Amanjanya Mall, Sungai Petani; GSC Sunway Carnival Mall, Seberang Jaya; GSC IOI City Mall, Putrajaya; dan GSC Terminal 1 Seremban.

Berita Harian X