Sabtu, 19 Disember 2015 | 12:32am

Bahaya simpan baki ubat

TABIAT tidak menghabiskan ubat yang diberi oleh klinik sering kali dipandang ringan oleh kebanyakan masyarakat dan kebanyakan mereka menyimpan baki ubat untuk digunakan kemudian.

Tinjauan BH Plus ke atas beberapa pengguna, mendapati rata-rata semuanya mempunyai baki ubat yang disimpan di rumah kerana berasakan ia berguna untuk kegunaan masa hadapan jika memerlukan.

Ada yang menyimpan ubat lebih dari enam bulan dan ketika ditanya mengenai cara penyimpanan ubat di rumah, kebanyakan mereka hanya menyimpannya di dalam peti ais atau diletakkan di dalam bekas plastik.

Hakikatnya, perbuatan sebegini mengundang bahaya. Tidak ramai yang menyedari tabiat menyimpan baki ubat ini mendedahkan mereka pada keracunan atau penyakit lain.

Setiap ubat ada tarikh luput dan setiap ubat juga ada cara penyimpanannya yang tersendiri. Ubat yang sudah tamat tarikh luput akan kurang keberkesanannya, selain berkemungkinan besar dijangkiti bakteria.

Timbalan Dekan Fakulti Farmasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohd Makmor Bakry, berkata secara dasarnya, pengguna tidak dapat menentukan tarikh luput sebenar ubat kerana tarikh luput sebenar berada di botol asal daripada pengilang.

Dr Mohd Makmor berkata, pengguna atau pesakit biasanya mendapat ubat yang telah dibungkus semula ke dalam bekas oleh klinik atau hospital, berdasarkan keperluan pesakit itu.

TIMBALAN Dekan Fakulti Farmasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohd Makmor Bakry.
TIMBALAN Dekan Fakulti Farmasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohd Makmor Bakry.

Mengenai ubat lama yang boleh memberi kesan sampingan seperti keracunan, beliau menjelaskan setakat ini, tidak banyak laporan saintifik yang menyokong kenyataan itu.

Apa yang lebih membimbangkan, katanya, jika ubat disimpan terlalu lama, ia akan menyebabkan keberkesanan ubat merosot.

"Sebab itu, klinik atau hospital hanya memberi ubat yang secukupnya kepada pesakit. Sebagai contoh, pesakit hanya diberi ubat cukup untuk lima hari dan ubat ini perlu dihabiskan.

"Bagaimanapun, kebiasaannya pesakit tidak menghabiskan ubat yang diberi dan bakinya disimpan," katanya.

Dr Mohd Makmor berkata, ubat yang disimpan ini boleh hilang keberkesanannya sehingga 90 peratus.

"Jika hanya ubat penahan sakit, ia tidak menjadi masalah, tapi bagaimana pula jika ubat untuk penyakit kronik seperti penyakit jantung?

"Jika terkena serangan jantung, ubat ini sepatutnya boleh melegakan. Tetapi, disebabkan ubat ini telah disimpan terlalu lama, keberkesanannya menurun. Akibatnya, pesakit itu boleh berdepan dengan kematian," katanya.

Dr Mohd Makmor berkata, penurunan keberkesanan ini juga boleh menyebabkan seorang pesakit itu mengalami 'overdose'.

Jika biasanya, dengan memakan sebiji ubat sudah mampu melegakan sakit kepala tetapi disebabkan keberkesanan ubat merosot, pesakit mungkin mengambil dua atau tiga biji ubat.

Akibatnya, pesakit tidak sedar dia berdepan dengan gejala 'overdose' yang boleh membawa kepada kemudaratan kepada pesakit itu.

 GEJALA 'overdose' boleh berlaku jika memakan ubat yang telah disimpan terlalu lama.
GEJALA 'overdose' boleh berlaku jika memakan ubat yang telah disimpan terlalu lama.

Satu perkara lagi yang perlu diberi perhatian adalah berkongsi ubat.

Sebagai contoh, ibu mengalami demam dan ubat demamnya tidak habis dimakan, lalu disimpan. Beberapa bulan kemudian, anaknya mengalami demam dan ibu memberikan ubatnya kepada anak.

"Kebiasaan orang kita, beri semula ubat yang ada dekat rumah. Ubat tidak boleh diberikan sembarangan tanpa ada kebenaran doktor. Ini kerana dos ubat berbeza mengikut individu," katanya.

Selain itu, Dr Mohd Makmor berkata, ubat juga senang untuk dijangkiti bakteria atau ejen kuman jika dibiarkan disimpan terlalu lama tanpa teknik dan cara penyimpanan yang betul.

Setiap ubat mempunyai cara dan suhu penyimpanan yang berbeza, terutamanya ubat jenis cecair seperti sirap ubat batuk, yang apabila terdedah, ia berkemungkinan besar tercemar dan dijangkiti bakteria.

"Keberkesanan menurun sebab simpan lama di rumah, ditambah pula dengan jangkitan bakteria. Ubat yang dimakan bukannya menyembuhkan penyakit, sebaliknya menambah pula penyakit lain," katanya.

TABIAT tidak menghabiskan ubat yang diberi oleh klinik dan kemudian menyimpannya untuk kegunaan masa akan datang sering kali dipandang ringan oleh kebanyakan masyarakat.
TABIAT tidak menghabiskan ubat yang diberi oleh klinik dan kemudian menyimpannya untuk kegunaan masa akan datang sering kali dipandang ringan oleh kebanyakan masyarakat.

PANDUAN PENGGUNAAN UBAT

Kenali ubat anda

- Nama generik atau nama bahan aktif ubat perlu dikenal pasti.

- Pemahaman ini perlu bagi mengelak berlaku kemungkinan pertukaran jenama ubat yang digunakan kelak.

- Selain itu, pastikan dos ubat diambil dengan tepat, masa pengambilan yang sesuai dan kaedah pengambilan yang betul.

Baca label ubat

- Jika membeli ubat, semak label supaya anda mengambil ubatan yang sesuai. Minta bantuan ahli farmasi untuk memilih produk yang sesuai dan semak tarikh luput ubat sebelum mengambilnya.

Jangan kongsi ubat

- Ubat yang dikongsi mungkin menyebabkan interaksi dengan ubat lain yang diambil bersama. Jika ubat dikongsi dengan pesakit lain, dosnya mungkin tidak sesuai dan boleh menyebabkan alahan.

Buang ubat tamat tempoh dan berubah warna

- Pengguna dinasihatkan tidak menggunakan ubat jika ia sudah berubah warna, bau, melekat antara satu sama lain, retak atau luput. Pengguna perlu memulangkan ubat itu ke farmasi di hospital kerajaan atau farmasi klinik kesihatan bagi tujuan pelupusan secara selamat.

LARANGAN penggunaan rokok elektronik (vape) dan shisha di restoran dan premis makanan perlu dikuatkuasa seperti larangan merokok. - Foto hiasan
LARANGAN penggunaan rokok elektronik (vape) dan shisha di restoran dan premis makanan perlu dikuatkuasa seperti larangan merokok. - Foto hiasan

CARA PENYIMPANAN UBAT YANG SELAMAT

  • Simpan ubat mengikut suhu
  • Dalam ruang tengah peti sejuk 2°-8° Celcius
  • Tempat dingin (bukan peti sejuk beku) 8°-15° Celcius
  • Suhu bilik 15°-30° celcius
  • Jauhkan ubat daripada kanak-kanak
  • Jangan simpan sebarang ubat dalam peti sejuk kecuali diarah berbuat demikian
  • Jangan simpan ubat di dalam bilik mandi
  • Elakkan simpan ubat di tempat yang terdedah kepada cahaya matahari atau haba
  • Asingkan ubat makan daripada ubat untuk kegunaan luar
  • Jangan simpan ubat yang sudah luput tarikh, rosak dan hilang label
Berita Harian X