Khamis, 17 Disember 2015 | 8:01pm

Tedung Selar 9kg bersembunyi dalam kereta

KETUA Skuad JPAM Padang Terap, Ahmad Mustaqim Hamzah (kanan) bersama anggotanya menunjukkan ular tedung selar yang berjaya ditangkap. - Foto Rahmat Othman

PADANG TERAP: Seekor ular tedung selar yang ditemui dalam bampar belakang kereta milik seorang penduduk di Kampung Masjid Lama Naka dekat sini, mencetuskan kekecohan.

Kehadiran ular sepanjang hampir lima meter itu disedari pemilik kenderaan berusia 40-an, apabila ternampak bahagian badan reptilia itu kira-kira jam 2 petang.

Sepasukan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Padang Terap yang dihubungi penduduk berjaya menangkapnya.

Ketua Skuad JPAM Padang Terap, Ahmad Mustaqim Hamzah, pihaknya mengambil masa lima minit untuk menangkap ular itu kerana ia bertindak agresif apabila dihampiri.

Ahmad Mustaqim berkata, ular tedung selar seberat sembilan kilogram (kg) itu berkemungkinan berlindung untuk menyalin kulit berdasarkan keadaan kulitnya yang separuh berwarna kuning dan coklat hitam.

Beliau berkata, sepanjang bulan ini pihaknya berjaya menangkap 17 ular, enam daripadanya tedung selar, lima tedung senduk, dua rusuk kerbau dan lima ular sawa.

"Semua ular itu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut," katanya.

Berita Harian X