Rabu, 16 Disember 2015 | 7:18am

Razman, Hafiz, Azamuddin sah tinggalkan Tok Gajah

TIGA pemain tonggak, (dari kiri) Azamuddin Mohd Akil, Hafiz Kamal dan Razman Roslan memilih untuk meninggalkan Tok Gajah. - Foto NSTP
TIGA pemain tonggak, (dari kiri) Azamuddin Mohd Akil, Hafiz Kamal dan Razman Roslan memilih untuk meninggalkan Tok Gajah. - Foto NSTP

KUANTAN: Tiga pemain tonggak, Razman Roslan, Hafiz Kamal dan Azamuddin Mohd Akil memilih untuk meninggalkan Tok Gajah selepas Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) dikatakan tidak lagi mampu memenuhi permintaan mereka, musim depan.

Razman mengambil keputusan untuk menyarung jersi pasukan baharu yang masih dirahsiakan, Hafiz mahu memikirkan tawaran daripada beberapa pasukan yang berminat menggunakan khidmatnya manakala Azamuddin menyahut cabaran Johor Darul Ta'zim (JDT)..

"Saya berterima kasih kepada pengurusan PBNP terutama presidennya, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah yang merestui permohonan saya untuk meninggalkan skuad Tok Gajah," kata Razman semalam.

BH Sukan semalam melaporkan beberapa pemain tonggak Pahang dijangka mengikut jejak ketua jurulatih, Zainal Abidin Hassan meninggalkan Tok Gajah untuk menyertai pasukan lain dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Matias Conti, Dickson Nwakaeme dan Damion Stewart - juga mahu berbuat demikian selepas menerima tawaran lumayan daripada beberapa pasukan yang begitu berminat dengan kelibat mereka.

"Saya mohon maaf kepada pengurusan PBNP dan peminat setia Tok Gajah yang sentiasa memberi sokongan kepada saya...walaupun pahit untuk ditelan, saya terpaksa mengambil keputusan drastik ini.

"Saya harap barisan pemain baharu di bawah bimbingan ketua jurulatih, Ahmad Shahruddin Rosdi dapat melakar lebih banyak kejayaan pada musim depan," kata Razman.

Hafiz pula berkata, dia terpaksa mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak dengan skuad Tok Gajah musim depan selepas mereka memberi pilihan kepadanya.

"Saya sudah bersedia dan menjangka perkara ini berlaku. Saya masih memikirkan tawaran daripada beberapa pasukan yang berminat menggunakan khidmat saya. Saya akan membuat keputusan dalam masa terdekat," katanya.

Azamuddin berkata dia menerima tawaran JDT bukan kerana wang, sebaliknya mahu mencari pengalaman baharu bersama pasukan baharu.

"Ini bukan soal wang kerana saya boleh mendapat jumlah sama jika masih terus bersama Pahang. Saya mahu mencari pengalaman baharu dan akan terus bersaing untuk mendapat tempat sebagai pemain utama di JDT," katanya.

Berita Harian X