X
Selasa, 15 Disember 2015 | 1:09pm

Jumlah mangsa banjir di Selangor meningkat

KEADAAN rumah yang dinaiki air akibat banjir di Jalan Paip, Meru Klang. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
KEADAAN rumah yang dinaiki air akibat banjir di Jalan Paip, Meru Klang. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

SHAH ALAM: Jumlah mangsa banjir di Selangor meningkat dengan 625 orang kini ditempatykan di sembilan pusat pemindahan sementara.

Kawasan di Meru mencatat bilangan mangsa tertinggi iaitu 242 orang daripada 59 keluarga, yang kini ditempatkan di Dewan Merak, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru.

Penolong Pengarah Operasi dan Penyelamat Bomba Selangor, Mohd Sani Harul, berkata sehingga jam 8 pagi tadi, lapan lagi pusat pemindahan dibuka iaitu Balai Raya Kampung Salak yang menempatkan 30 mangsa; Dewan Taman Gemilang, Dengkil (104); Surau RTB Labu Lanjut (77) dan Surau Ladang Tuan Mee (40).

Selain itu, katanya, Surau At-Taufikiah, Puncak Alam (22); Dewan Majlis Perbandaran Klang (MPK) Kampung Kuantan, Klang (17); Sekolah Kebangsaan Sultan Abdul Samad, Pekan Kapar (58) dan Dewan Orang Ramai Genting Sanyen (35).

"Mengikut perangkaan semasa, mangsa membabitkan 161 keluarga," katanya.

Sementara itu, di Kuala Selangor, paras sungai berdekatan Kampung Parit Mahang dan Kampung Asahan didapati semakin meningkat, menyebabkan penduduk setempat bersedia untuk dipindahkan jika ia mencecah paras bahaya.

Berita Harian X