Ahad, 13 Disember 2015 | 1:01pm

FAM puji penyokong Selangor, Kedah

PENYOKONG Selangor dan Kedah menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam tadi. - Foto Shazreen Zamzuri
PENYOKONG Selangor dan Kedah menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam tadi. - Foto Shazreen Zamzuri

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengucapkan tahniah atas kejayaan Selangor menjuarai Piala Malaysia malam tadi selain terima kasih kepada penyokong yang memberikan kerjasama baik sepanjang perlawanan akhir itu.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dalam kenyataannya menerusi emel berkata, penyokong Selangor dan Kedah memberikan kerjasama baik ketika hadir menyaksikan final Piala Malaysia 2015 di Stadium Shah Alam.

Katanya, pujian harus diberikan kepada penyokong kedua-dua pasukan yang berdisiplin tinggi tanpa mencetuskan sebagai kekecohan sama ada sebelum, semasa atau selepas perlawanan untuk memastikan kelancaran perlawanan akhir kali ini.

"Kehadiran kira-kira 70,000 penyokong Selangor dan Kedah menghidupkan suasana yang cukup meriah sepanjang perlawanan dan saya dapati tanpa perlu membakar mercun, bom asap atau suar pun mereka tetap boleh memberikan sokongan padu kepada pasukan masing-masing.

"Saya mewakili FAM berharap sikap dan kelakuan baik ditunjukkan penyokong Selangor dan Kedah, malam tadi dapat diteruskan dan dicontohi penyokong pasukan-pasukan lain untuk perlawanan akhir akan datang atau mana-mana perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) selepas ini," katanya.

Hamidin turut memuji Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang memberi kerjasama baik dengan pihak FAM bagi memastikan perlawanan akhir kali ini berlangsung dengan lancar tanpa sebarang insiden yang menjejaskan keselamatan semua yang hadir menyaksikannya di stadium.

Jelasnya, kehadiran kira-kira 2,200 anggota polis dan pihak keselamatan berjaya mengawal keadaan di dalam dan luar stadium dengan baik sebelum, pada dan selepas perlawanan, malam tadi.

"Akhir sekali, FAM ingin mengucapkan tahniah kepada pasukan Selangor yang berjaya muncul sebagai juara Piala Malaysia buat kali ke-33 dan kepada pasukan Kedah, cuba lagi pada musim depan," katanya.

Berita Harian X