Rabu, 8 Oktober 2014 | 4:31pm

Malaysia gesa Indonesia segera laksana tindakan pencegahan jerebu - Palanivel

KUALA LUMPUR: Malaysia hari ini menggesa Indonesia agar segera melaksana tindakan pencegahan dan pemadaman kebakaran tanah dan hutan yang menyebabkan jerebu merentas sempadan.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G Palanivel, berkata berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura, sebanyak 97 titik panas dikesan di selatan Sumatera dan Kalimantan.

"Kebimbangan kita terhadap peningkatan bilangan titik panas berkenaan sudah disuarakan secara bertulis oleh Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) kepada Kementerian Alam Sekitar Indonesia pada 15 September lalu," katanya melalui akaun rasmi Twitter miliknya hari ini.

Palanivel berkata, titik panas yang turut dikesan di Sarawak dan ia akan disiasat dengan tindakan penguatkuasaan sesuai akan diambil.

Beliau berkata, masalah jerebu yang melanda Lembah Klang baru-baru ini tidak berpunca daripada kes pembakaran hutan atau tanah di dalam negara.

Jerebu yang melanda negara beberapa bulan lalu kini berulang apabila 36 kawasan mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sederhana hari ini dengan nilai bacaan 51 hingga 75.

Menurut laman web JAS sehingga jam 2 petang tadi, Batu Muda, Kuala Lumpur mencatatkan IPU sederhana dengan bacaan tertinggi sebanyak 75 diikuti Larkin Lama, Johor (75), Kampung Air Putih, Taiping, Perak (72), Nilai, Negeri Sembilan dan Bakar Arang, Sungai Petani, Kedah (69).

Hanya 15 kawasan mencatatkan IPU baik antaranya, Keningau dan Sandakan di Sabah (27), Wilayah Persekutuan Labuan (29), Kota Kinabalu, Sabah (29), Tanah Merah, Kelantan (31), Miri, Sarawak (33), Sarikei, Sarawak (34) dan Kapit, Sarawak (38).

Bacaan IPU antara 0-50 menggambarkan kualiti udara yang baik manakala 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak bersih) dan 300 ke atas (berbahaya). - Oleh Sarah Sulaiman

sarahsulaiman@bh.com.my

Berita Harian X