Ahad, 6 Disember 2015 | 9:49am

Obama akan gariskan strategi AS menentang pengganas

Presiden AS, Barack Obama. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Presiden AS, Barack Obama akan berucap kepada seluruh warga negara itu menerusi televisyen pada Ahad bagi menggariskan strategi untuk mengalahkan kumpulan militan Negara Islam (IS), beberapa hari selepas 14 orang terbunuh dalam serangan di California.

Menerusi ucapan mingguan di radio pada Sabtu, Obama berikrar bahawa AS 'tidak akan ditakutkan', merujuk kepada tindakan IS memuji pasangan yang menembak mati 14 orang dan mencederakan berpuluh yang lain dalam serangan di sebuah pusat khidmat sosial di San Bernardino, California pada Rabu.

"Amerika berpegang kepada norma warganya, masyarakat yang terbuka dan bebas, ...dan kita tidak akan ditakutkan," katanya.

Pada jam 8 malam Ahad (waktu AS), Obama akan berucap dari Rumah Putih bagi meyakinkan warga negara itu mereka selamat, terutama selepas kejadian serangan di California itu yang mana FBI menyiasat kemungkinan ia mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas.

Kali terakhir Obama berucap kepada seluruh negara menerusi televisyen adalah pada Ogos 2010, berikutan berakhirnya operasi darat AS di Iraq.

"Presiden juga akan membincangkan ancaman keganasan secara menyeluruh, termasuk bentuk ancaman, bagaimana ia berkembang dan bagaimana kita akan menumpaskannya," kata kenyataan Rumah Putih. - AFP

Berita Harian X