Sabtu, 5 Disember 2015 | 12:09am
ANAK penyu dilepaskan ke laut berhampiran Glory Beach Resort, Port Dickson. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Jaring nelayan haram ancam penyu Tanjung Tuan


KEHADIRAN semula penyu di perairan Port Dickson, Negeri Sembilan, sejak beberapa tahun lalu menggembirakan banyak pihak, namun ancaman terhadap spesies itu dianggap kritikal kerana dikatakan tiada pemantauan berkesan.

Antara ancaman paling serius adalah aktiviti menjaring ikan secara haram di perairan Tanjung Tuan, yang juga kawasan paling digemari penyu berikutan terdapat banyak karang dan hidupan laut yang menjadi makanannya.

Ironinya, perairan itu sebenarnya adalah kawasan larangan perikanan mengikut Peraturan-Peraturan Perikanan (Kawasan Larangan) 1994 di bawah Akta Perikanan 1985, namun nelayan mendakwa penguatkuasaan masih lemah.

Lebih membimbangkan, sejak awal tahun ini, sekurang-kurangnya empat bangkai penyu ditemui terdampar di kawasan berkenaan dengan tiga daripadanya dipercayai mati akibat lemas selepas terperangkap pada pukat atau jaring.

Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Sembilan, Abu Bakar Dawam, berkata pihaknya kerap mendapat maklumat kumpulan atau individu, termasuk warga asing memasang jaring terutama ketika air surut di kawasan pantai itu.

PENGERUSI Persatuan Nelayan Negeri Sembilan, Abu Bakar Dawam. - Foto NSTP

"Mereka bukan nelayan kerana kami memang tidak menangkap ikan di kawasan itu. Kami percaya mereka adalah orang luar atau pekerja asing yang datang bercuti di kawasan ini.

"Jaring yang digunakan adalah jenis 'tagan' iaitu ditinggalkan untuk tempoh lama, malah ada yang melebihi dua hari. Ini mengancam penyu kerana haiwan itu perlu timbul untuk bernafas selang beberapa jam," katanya.

Abu Bakar mendakwa, pihaknya beberapa kali melaporkan aktiviti berkenaan kepada pihak berkuasa, namun tiada tindakan diambil.

Sementara itu, pengusaha khidmat selam skuba bergerak, Sazali Sakiran, yang beroperasi di Pantai Tanjung Biru di Tanjung Tuan, mengakui pernah menemui jaring dan bubu yang ditinggalkan di kawasan karang ketika menyelam.

"Saya pernah menemui anak penyu mati akibat terperangkap pada jaring di laut. Selain itu, terdapat jaring serta pukat yang hanyut dan terdampar pada karang di dasar laut.

"Keadaan ini berbahaya kerana penyu yang mencari makanan dan berehat di kawasan ini boleh terperangkap dan lemas," katanya.

Pengarah Perikanan Negeri Sembilan, Zainudin Abdul Wahab, berkata pihaknya akan meningkatkan kerjasama dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi menguatkuasakan Akta Perikanan di kawasan itu.

 

Beliau berkata, pihaknya juga akan menggerakkan pasukan Sukarelawan Perikanan (SUPER) negeri untuk mengumpulkan maklumat sebelum disalurkan kepada APMM bagi menahan pihak yang menangkap ikan di Tanjung Tuan.

 

"Bermula bulan depan, kita akan memperbanyakkan rondaan darat dan memberi tumpuan terhadap pantai di Tanjung Tuan bagi memastikan kawasan itu bebas daripada aktiviti tidak sah yang mengancam hidupan laut, termasuk karang, ikan dan penyu," katanya.

Beliau berkata, Jabatan Perikanan juga sedang merangka kertas cadangan untuk membuka sebuah santuari penyu di kawasan berkenaan dan dijangka diserahkan kepada kerajaan negeri tahun depan.

 

Pada masa yang sama, lebih banyak penyu karah dijangka datang ke perairan Port Dickson dan mendarat untuk bertelur, dalam tempoh 20 tahun lagi.

ANTARA pengunjung Santuari Penyu, Glory Beach Resort, Port Dickson. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Ini berikutan langkah Jabatan Perikanan, Pusat Penyu dan Ekosistem Marin (TUMEC) Rantau Abang dan pusat peranginan Glory Beach Resort, di sini, bekerjasama membina Pusat Penetasan Telur Penyu (PPTP) di kawasan pusat peranginan berkenaan, sejak lima tahun lalu.

Pengurus Besar Glory Beach Resort yang terletak di Pantai Tanjung Gemok, di sini, Isaac Raj, berkata pihaknya berjaya menetaskan 6,800 telur penyu karah sejak mula beroperasi pada tahun 2010.

"Kita membeli telur penyu daripada pihak yang mempunyai permit mencari dan menjualnya sebelum menetaskannya di sini.

"Harapan kita, penyu yang terselamat di lautan akan kembali ke pantai ini untuk mengawan dan bertelur apabila dewasa," katanya yang juga Penasihat PPTP Glory Beach Resort.

Pengurus Keselamatan yang juga Pengurus PPTP itu, R Ramis, berkata mereka menemui teknik baharu untuk menetaskan telur penyu.

 

"Sebelum ini, kami diberitahu telur penyu hanya boleh ditetaskan di pantai yang hampir dengan laut, namun kami menetaskan telur di kawasan lebih jauh dengan membina kawasan penetasan menggunakan pasir sedalam satu meter di tepi resort.

SANTUARI Penyu di Glory Beach Resort, Port Dickson. - Foto Iqmal Haqim Rosman

"Telur yang dikumpulkan ditanam dengan berhati-hati untuk mengekalkan keadaan yang sama ketika dikutip di pantai. Biasanya, telur itu akan menetas selepas 55 hari hingga 65 hari dieram," katanya.

Anak penyu itu kemudiannya diletakkan dalam akuarium selama beberapa hari dan diberi makan bagi menguatkan tubuhnya sebelum dilepaskan ke laut bagi meningkatkan peluang haiwan itu untuk hidup.

Katanya, mengikut kajian, hanya seekor daripada 1,000 anak penyu yang menetas di seluruh dunia berjaya hidup sehingga dewasa, manakala selebihnya mati disebabkan pelbagai faktor, termasuk dimakan pemangsa, tersangkut pada pukat nelayan dan termakan plastik yang disangka obor-obor.

Berita Harian X