Jumaat, 4 Disember 2015 | 9:52am

Mentor Milenia tampil konsep, format baharu

HAZAMA, Akim, Azlan dan Black ketika sidang media Mentor Milenia semalam. - Foto Instagram TV3
HAZAMA, Akim, Azlan dan Black ketika sidang media Mentor Milenia semalam. - Foto Instagram TV3

KUALA LUMPUR: Selepas tujuh musim berjaya melahirkan pelapis penyanyi berbakat, Mentor kembali dengan konsep dan format baharu iaitu Mentor Milenia. Program yang diberikan nafas baharu itu membariskan Black, Azlan, Akim dan Hazama sebagai mentor.

Mentor Milenia menyasarkan golongan muda linkungan 17 hingga 21 tahun dengan tujuan untuk mengasah bakat-bakat baharu yang menyimpan impian untuk menempa nama di persada seni tempatan.

Hazama, Akim, Azlan dan Black dipilih sebagai mentor dan diberi tanggungjawab untuk mendidik tiga protege, sekali gus berkongsi ilmu dalam bidang nyanyian. Kemantapan vokal empat jejaka itu tidak dapat dipertikaikan lagi.

Setiap mentor mempunyai kriteria berbeza untuk memilih protege di bawah didikan mereka berdasarkan sesi uji bakat mengikut tarikh yang ditetapkan. Penyertaan dibuka kepada semua rakyat Malaysia yang berminat dan bersesuaian dengan kriteria yang ditetapkan oleh setiap mentor.

Sesi uji bakat protege yang bakal berada di bawah didikan Hazama bakal berlangsung pada 13 Disember ini. Pelantun lagu Sampai Mati itu mencari mereka yang boleh menyanyi dalam pelbagai genre dan versatil.

Manakala Azlan pula memilih tarikh 19 Disember dan menginginkan protege yang mempunyai minat mendalam dalam bidang nyanyian, vokal yang mantap serta ketahanan mental serta fizikal yang kuat untuk menerima teguran.

Vokalis Akim & The Majistret itu akan mengadakan sesi uji bakat pada 20 Disember ini. Beliau mencari protege yang mempunyai keunikan vokal tersendiri dan penampilan yang baik.

Berbeza dengan mentor lain, Black enggan memandang pada rupa paras sebagai salah satu kriteria asalkan protege itu berpenampilan kemas dan bergaya. Sesi uji bakat Black akan berlangsung pada 26 Disember ini memberikan penekanan kepada vokal sebagai kriteria utama.

Uji bakat bagi keempat-empat mentor ini akan dijalankan pada tarikh berbeza namun memilih lokasi yang sama iaitu Studio Seri Pentas 2, Plaza Alam Sentral Shah Alam.

Berita Harian X