Jumaat, 4 Disember 2015 | 12:12am
GELAGAT penyu ketika dilepaskan ke laut berhampiran Santuari Penyu, Glory Beach Resort, Port Dickson. - Foto Iqmal Haqim Rosman
KEADAAN Pantai Tanjung Tuan menarik semula penyu untuk bertelur di kawasan berkenaan.

Penyu PD tidak lagi merajuk


SELAMA puluhan tahun, penyu terutama jenis karah, dikatakan menjauhi perairan daerah Port Dickson di Negeri Sembilan berikutan pelbagai faktor yang mengancam kehadiran haiwan itu, terutama pembangunan pesat di kawasan pantai.

Keadaan itu menyebabkan masyarakat tidak menyedari beberapa lokasi di sepanjang pantai Port Dickson, pernah menjadi tumpuan penyu mendarat untuk bertelur pada suatu ketika dahulu, terutama pada tahun 1970-an dan 1980-an.

Kini, penduduk tempatan dan Jabatan Perikanan negeri menganggap reptilia itu tidak lagi 'merajuk' kerana kelibat spesies itu, kembali kelihatan di perairan ini, malah mereka percaya lebih banyak penyu akan datang ke kawasan ini pada masa depan.

Nelayan di Pangkalan Nelayan Batu 7, di sini, Ramdan Abd Aziz, 53, yang mula menangkap ikan di perairan itu sejak tahun 1985, mengakui kerap melihat penyu timbul di permukaan air untuk bernafas sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

 


ANAK penyu di dalam akuarium Santuari Penyu, Glory Beach Resort, Port Dickson. - Foto Iqmal Haqim Rosman. - Foto Iqmal Haqim Rosman

"Hampir setiap kali turun ke laut tidak kira siang atau malam, saya pasti terserempak penyu di kawasan terdapat terumbu karang. Haiwan ini biasanya timbul sekejap sahaja dan dengusannya boleh didengar dengan jelas.

"Selalunya, penyu tidak takut kerana memang menyedari kehadiran bot nelayan. Namun, kita berharap mereka menjauhi bot kerana bimbang cedera terkena kipas enjin," katanya kepada BH Plus.

Sementara itu, pengendali sukan air di Teluk Kemang, Hashim Sitam, 47, berkata kebanyakan pengunjung yang dibawa menaiki bot pisang, amat teruja apabila melihat penyu menonjolkan diri di laut.

"Saya tidak tahu berapa banyak penyu berada di perairan ini, namun kerap melihatnya. Boleh dikatakan secara purata, saya ternampak penyu lima kali setiap hari.


SEEKOR penyu yang ditemui penyelam didasar perairan Tanjung Tuan, Port Dickson. - Foto Iqmal Haqim Rosman

"Kehadiran penyu seolah-olah menjadi tarikan tambahan kepada pengunjung. Bagaimanapun, saya tidak pernah menghampiri penyu kerana tidak mahu mengganggu atau membuatkan mereka berasa terancam," katanya.

Sementara itu, pengusaha khidmat selam skuba bergerak, Sazali Sakiran, yang beroperasi di Pantai Tanjung Biru, di sini, berkata dia kerap melihat penyu mencari makanan atau berehat di dasar laut kawasan itu.

"Kawasan ini adalah kawasan larangan perikanan dan mempunyai banyak karang laut yang cantik dan sihat, yang menjadi sumber makanan hidupan marin terutama ikan dan penyu.

"Apabila terserempak penyelam, penyu biasanya cuba menjauhi kami, namun pergerakannya yang perlahan membolehkan kami memerhati kelakuannya tanpa mengganggunya," katanya.

Pengarah Perikanan Negeri Sembilan, Zainudin Abdul Wahab, ketika ditemui, mengakui kehadiran penyu di Port Dickson kini, bukan sesuatu yang asing dalam kalangan nelayan, namun sesuatu yang baharu bagi orang luar.


PENGARAH Perikanan Negeri Sembilan, Zainudin Abdul Wahab. - Foto Hazreen Mohamad

"Penyu biasanya dikaitkan dengan Pantai Timur dan tidak ramai mengetahui Port Dickson juga pernah menjadi lokasi pendaratan popular spesies ini, terutama di kawasan pantai Tanjung Tuan.

"Mungkin penyu menjauhi pantai Port Dickson untuk suatu jangka masa kerana pembangunan pesat yang mendatangkan gangguan kepadanya. Kini selepas sekian lama, kita bersyukur haiwan marin ini kembali ke Port Dickson," katanya.

Beliau berkata, kawasan Tanjung Tuan yang diwartakan sebagai kawasan larangan perikanan mengikut Peraturan-Peraturan Perikanan (Kawasan Larangan) 1994 di bawah Akta Perikanan 1985, adalah antara habitat penyu yang paling penting di daerah ini.


PEMANDANGAN di Pantai Tanjung Tuan.

Kegiatan manusia antara punca utama haiwan ini semakin pupus. Usaha meningkatkan pengawasan dan penubuhan santuari diharap dapat meningkatkan semula populasi hidupan ini. Ikuti kupasan lanjut, esok.

 

Berita Harian X