Jumaat, 4 Disember 2015 | 12:10am
BANGUNAN UiTM Shah Alam.

Mengapa Bumiputera dianggap lemah


MENGAPA Bumiputera khususnya orang Melayu dianggap lemah dalam pelbagai bidang dan mudah berpuas hati? Apakah ada kaitan dengan budaya 'tidak apa' atau mudah putus asa? Dalam bidang pendidikan pula, asal ada ijazah sudah memadai dan selepas itu, tidak mahu berusaha lebih supaya lebih maju dalam kerjaya. Ikuti temu bual khas wartawan BH, KADIR DIKOH dan MOHD ZIN ALI bersama Pro Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Tan Sri Arshad Ayub, yang turut menjelaskan senario penubuhan Institut Teknologi MARA (ITM), kini dikenali sebagai UiTM

PRO Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Tan Sri Arshad Ayub. - Foto Aizuddin Saad

Soalan (S): Apa pandangan Tan Sri mengenai masalah utama orang Bumiputera dalam pelbagai bidang. Adakah ada kaitan dengan soal mentaliti?

Jawapan (J): Kita sekarang sudah banyak cenderung, bersandar dan dipengaruhi agama. Kita banyak masalah dan kadang-kadang tidak tahu kepemimpinan mana yang kita hendak dengar. Kita ada kepemimpinan agama, Raja dan demokrasi. Kita kini dalam persimpangan dan dalam persimpangan ini, kita perlu mempunyai pemimpin yang baik. Pemerintahan sekarang perlu berasaskan demokrasi tetapi kita juga mungkin boleh dipimpin oleh pemerintahan diktator tentera. Mentaliti saya kata, kita patut lebih pragmatik dan berhadapan dengan dunia sebenar. Bagaimanapun, nanti ada yang mengatakan saya terlupa pada akhirat. Memang kalau hendak senang, tak perlu fikir apa-apa, tak usah bekerja dan hanya berserah pada Allah.

S: Adakah ia mempunyai kaitan dengan sikap 'tak apalah' dalam kalangan orang Melayu?

J: Pada saya, kita perlu mengubah fikiran. Saya tidak ada masalah berserah rezeki kita kepada Allah. Tapi adakah kita berpuas hati? Pada saya, syukur Alhamdulillah dengan apa yang ada tetapi saya akan berusaha mencari lagi rezeki. Saya kini menjadi pengarah kepada lima syarikat senaraian awam. Jika lihat filem Tan Sri P Ramlee, tiada watak orang kaya yang bagus. Kalau kaya, mungkin wataknya kedekut atau menganiaya orang lain. Mungkin sudah sampai masanya kita berubah dan patut berfikir bahawa menjadi kaya itu bagus seperti boleh menderma. Kita perlu berfikir semula. Tapi kita tak boleh paksa orang Bumiputera kini untuk berbuat sesuatu kerana kita sekarang sudah demokrasi. Saya cuma hendak ingatkan orang Bumiputera supaya jangan penat atau lelah untuk mencari rezeki yang lebih. Bila dapat rezeki, syukur Alhamdulillah dan tunaikan tanggungjawab kita seperti berzakat, fitrah dan sedekah. Jangan hanya bersyukur, pergi masjid dan dengar syarahan sahaja. Kadang-kadang kita lebih bercakap sahaja, kurang membuat sehingga tahap yang sepatutnya. Dalam bidang pendidikan, kita buatlah apa yang terbaik. Kita buat macam saya dulu (ketika jadi Pengarah ITM), Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein tidak memberi sebarang arahan tertentu tetapi saya buat dengan inisiatif sendiri. Apa sahaja yang kita lakukan, buatlah yang terbaik. Jika dibanding dengan kerja orang lain dan ia tidak sebaik orang lain, tidak mengapa dan ia boleh digunakan sebagai penanda aras. Untuk berjaya, kita juga perlu kurang bergantung. Saya tidak tahu secara politik, adakah jika anda inginkan sesuatu, anda akan bergantung kepada UMNO, parti politik lain atau diri sendiri.

TEMU BUAL bersama Tan Sri Arshad Ayub. - Foto Aizuddin Saad

S: Apa pandangan Tan Sri mengenai kelompok tertentu kononnya memperjuangkan nasionalisme dan kepentingan bahasa Melayu, tetapi tidak mahu bahasa Inggeris?

J: Kita boleh bersikap nasionalistik tetapi pada masa sama perlu pragmatik. Adakah kita boleh hidup dengan nasionalisme dan yakin hanya bahasa Malaysia boleh menyatukan rakyat negara ini? Setakat ini, tidak ada satu bahasa pun boleh menyatukan. Bahasa Inggeris juga tidak dapat menyatukan masyarakat seperti Irish, Scottish dan England walaupun menggunakan bahasa sama. Pada saya, bahasa Inggeris bukan lagi bahasa penjajah tetapi ia adalah bahasa perniagaan. Bahasa Inggeris juga tidak cukup bagi saya, kita perlu menguasai bahasa lain seperti Mandarin, tetapi ia tidak akan menjadikan seseorang itu menjadi Cina. Ia ada kepentingannya. Bahasa Arab juga penting jika kita ingin memberi tumpuan menjalankan perniagaan di dunia Arab. Bahasa ini adalah cara untuk kita menjadi lebih berkesan. Mengenai cadangan untuk mewujudkan sekolah satu aliran, saya rasa ia hanya akan berjaya untuk menyatukan masyarakat jika kita sampai ke tahap ideal seperti di Thailand. Bagaimanapun, di Thailand juga kini sudah mewujudkan sekolah Cina dan agama. Pada saya, susah untuk mengatakan bahasa itu kunci perpaduan. Kita hanya mengerti kerana menggunakan bahasa yang sama tetapi tidak semestinya kita akan bersetuju antara satu sama lain. Lihatlah dalam UMNO, ia juga berpecah kerana perbezaan pendapat walaupun menggunakan bahasa Malaysia yang sama. Pada saya, peluang pekerjaan dan perniagaan boleh menyatukan kita. Saya rasa sekolah hanya mampu mewujudkan pemahaman yang lebih baik tetapi kita boleh cari banyak jalan lain. Kalau tanya pendapat saya, kita sudah terlambat. Kita sudah cuba sekolah satu bumbung, tetapi tidak berhasil.

PENDIDIKAN Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) melahirkan pelajar berpengalaman untuk mendapatkan pekerjaan. - Foto Luqman Hakim Zubir

S: Apakah pandangan Tan Sri mengenai usaha kerajaan memberi penekanan kepada Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi melahirkan lebih ramai pekerja berkemahiran tinggi menjelang tahun 2020?

J: Masa saya menjadi Pengarah di ITM, kita tiada sebatang pokok kelapa sawit, bagaimanapun saya memperkenalkan Diploma Pengurusan Ladang (DPIM) pada 1967. Bagi mengatasi masalah, saya melakukan penyumberan luar dengan pelajar perlu melakukan praktikal di pelbagai syarikat peladangan selama tiga hingga enam bulan. Akhirnya, sebaik tamat pengajian dan kadang-kadang belum habis pengajian, mereka sudah dipanggil untuk bekerja oleh syarikat peladangan kerana sudah mempunyai latihan. Apa yang saya lakukan ke atas pelajar ITM adalah sama seperti TVET dengan penekanan bekerja dalam industri sebelum mereka mendapat diploma. Saya sedar pelajar Bumiputera perlu mempunyai sijil kelayakan dan kalau boleh pengalaman industri untuk mendapatkan pekerjaan. Oleh itu, apabila saya ke United Kingdom, saya memperkenalkan sijil perakaunan Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA) pada 1966 dan kini, sudah berpuluh ribu orang dan kebanyakan akauntan kita adalah daripada ACCA. Dengan ACCA, mereka boleh dapatkan sijil hanya di dalam negara selepas mempunyai tiga tahun pengalaman. Hari ini kita kena fokus. Sebab itu, TVET adalah penting. Saya memperkenalkan Komunikasi Massa bermula dengan (pengkhususan) radio, televisyen, perhubungan awam dan pengiklanan selain hotel katering, pengangkutan dan insurans. Apa yang tak dibuat oleh universiti (lain), kita buat. Satu lagi yang saya tekankan ketika di ITM ialah penguasaan bahasa Inggeris tetapi bukan bahasa Inggeris sahaja tetapi juga Mandarin, Tamil dan Arab. Ketika bekas Menteri Pelajaran, Tun Abdul Rahman Yaakub memperkenalkan semua universiti mesti menggunakan bahasa Malaysia, saya tidak melaksanakannya kerana alasan saya ialah pelajar perlu menduduki kursus di luar negara. Selain itu, kira-kira 95 peratus pensyarah saya adalah bukan Bumiputera. Sehingga tahun 2000, kebolehan graduan UiTM dalam berbahasa Inggeris masih memuaskan. Kini, kita kembali memberi penekanan kepada bahasa Inggeris.

S: Apakah pandangan Tan Sri terhadap kemampuan pelajar Bumiputera?

J: Pada saya, pelajar Bumiputera memang berkemampuan. Apa yang penting, cara kita mendidik dan mempengaruhi pelajar. Inilah mustahaknya guru. Masa saya menjadi Pengarah ITM, 95 peratus pensyarah saya terdiri daripada bukan Bumiputera tetapi komitmen diberikan tidak berbelah bahagi. Bagi saya tidak ada jalan lain, komitmen penuh serta minat guru, pensyarah dan profesor untuk membantu membangunkan pelajar. Kita kena tanya pada diri kita. Bagaimanapun, pelajar Bumiputera kadang-kadang kurang keyakinan. Ia terbukti apabila kerajaan pernah membuat kenyataan bahawa negara kekurangan 65,000 akauntan. Ia bukan untuk mempunyai ijazah dalam bidang akauntan, sebaliknya mempunyai kerjaya itu perlu menduduki beberapa peperiksaan. Bagaimanapun, graduan Bumiputera takut untuk menduduki peperiksaan itu kerana bimbang tidak lulus. Saya sendiri pernah berdepan kegagalan tetapi saya tetap mara ke hadapan. Mereka ini sudah kalah sebelum pergi berperang. Apa yang saya lihat ialah kita sudah diberi peluang tetapi tak menggunakan sepenuhnya.

GRADUAN Universiti Teknologi MARA (UiTM). - Foto Danial Saad

S: Kebanyakan mentaliti graduan universiti, termasuk UiTM sudah berpuas hati apabila sudah mendapat kerja sebaik keluar universiti. Apa pandangan Tan Sri?

J: Setiap kali majlis graduasi, saya meminta semua graduan supaya terus belajar. Saya minta mereka supaya terus membuka minda, belajar dan terus belajar. Saya sudah berusia 87 tahun dan sebagai Pro Canselor, masih berdiri untuk menyampaikan ijazah dan diploma. Ini kerana saya komited. Jika kita komited, tiada apa yang mustahil. Mereka juga boleh jadi usahawan. Sekembalinya saya dari United Kingdom kerana belajar, saya menggunakan wang simpanan sebanyak RM2,000 untuk membeli 0.4 hektar tanah. Saya daripada keluarga miskin. Saya pernah berjanji pada diri apabila emak menjual 0.4 hektar tanah yang terakhir milik keluarga, saya akan membeli tanah lain sebagai ganti. Bila ada orang hendak menjual tanah berhampiran kampung saya, saya segera membelinya. Tanah itu masih ada sehingga kini dan bernilai lebih RM300,000...saya takkan jual. Saya juga ada mendapat pinjaman RM17,000 pada tahun 1970 untuk beli tanah seluas lapan hektar di Meru, Klang, sebelum menjual tanah itu kira-kira 20 tahun kemudian pada harga RM4 juta. Ia adalah hasil tabiat menyimpan.

S: Kalau dilihat daripada senario sekarang, tanpa UiTM, apa Tan Sri rasa akan terjadi pada masyarakat Bumiputera sekarang?

J: Saya tidak tahu, tetapi barangkali, mungkin kita menjadi lebih baik. Kita akan terpaksa bersaing kerana tiada keistimewaan. Siapa yang tidak boleh berenang akan mati, yang boleh berenang akan lepas ke atas (berjaya). Tapi angka yang mungkin kita dapat lihat hari ini, mungkin kurang. Bagaimanapun, ia bergantung kepada kemahuan kita untuk berjaya.

S: Pandangan mengenai saranan supaya UiTM dibuka kepada pelajar bukan Bumiputera?

J: UiTM kini sudah berusia 50 tahun sejak kali pertama saya menjadi Pengetua RIDA (Dewan Latihan Lembaga Pembangunan Perusahaan Luar Bandar). Ketika di RIDA, saya mempunyai 300 pelajar, apabila meninggalkan ITM, saya mempunyai 8,000 pelajar. Kini, angka pelajar UiTM sudah mencecah 160,000 dengan alumni UiTM adalah seramai 650,000 orang. UiTM juga sudah mempunyai pelbagai kursus, termasuk perubatan. Pada saya, kita tidak patut membuka UiTM kepada pelajar bukan Bumiputera pada peringkat diploma dan ijazah serta profesional kerana kita perlu menyokong dasar penubuhannya. Ketika ini, bilangan pelajar Bumiputera di universiti masih lagi kecil dan belum mencukupi berikutan kehadiran banyak universiti swasta. Bagaimanapun, bagi pelajar di peringkat pengajian sarjana dan doktor falsafah, saya rasa sudah sampai masa kita memerlukan pengkayaan dengan kehadiran pelajar bukan Bumiputera, termasuk pelajar dari luar negara untuk meningkatkan persaingan dan pertukaran ilmu selain menjadi sumber kepada bakal pensyarah UiTM.

S: Adakah Tan Sri mencadangkan supaya kepemimpinan UiTM hari ini kembali mengamalkan kaedah yang pernah digunakan pada zaman Tan Sri untuk meningkatkan prestasi pelajar?

J: Saya tidak layak untuk berkata begitu. Bagaimanapun, kita sepatutnya melihat apa sahaja kekuatan dan kelemahan yang ada. Kadang-kadang kita tidak melakukan semakan. Saya pernah meminta melakukan satu kajian bagi melakukan semakan ke atas ITM dengan bantuan universiti Amerika Syarikat pada tahun ke-10 sebagai Pengarah ITM tetapi malangnya, saya tidak dapat melihat hasil kajian kerana terpaksa meninggalkan ITM untuk berpindah ke Bank Negara.

PROFIL

Tan Sri Arshad Ayub

Lahir: 15 November 1928

Asal: Parit Keruma Laut, Muar, Johor

Pendidikan:

  • Sekolah Melayu Parit Keruma, Muar
  • Sekolah Inggeris Kerajaan, Muar
  • Universiti Malaya, Singapura (1949-1951)
  • Kolej Pertanian Serdang, Selangor (1951-1954)
  • University College of Wales, Aberystwyth, United Kingdom (1954-1958)
  • Management Development Institute (IMEDE), Lausanne, Switzerland

Isteri: Puan Sri Zaleha Mohd Arshad

Anak: Tujuh orang

Cucu: 29 orang

Pengalaman kerja:

  • Penolong Pegawai Dewan Latihan Lembaga Pembangunan Industri Desa (RIDA)
  • Pegawai Ekonomi Kementerian Perindustrian dan Perdagangan Pulau Pinang
  • Penolong Setiausaha Kanan (Kewangan) Perbendaharaan
  • Pengetua RIDA
  • Pengarah pertama Institut Teknologi MARA (ITM)
  • Timbalan Gabenor Bank Negara
  • Timbalan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi
  • Ketua Setiausaha Kementerian Industri Utama
  • Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian
  • Ketua Setiausaha Kementerian Tanah dan Pembangunan Wilayah

Jawatan kini:

  • Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaya
  • Pro Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM)
  • Naib Pengerusi Lembaga Bersekutu Pemegang Amanah Pengajian Tinggi Islam Malaysia
  • Canselor Kolej Universiti Kejururawatan Antarabangsa KPJ
  • Canselor Universiti Antarabangsa INTI
  • Pengerusi Yayasan PINTAR

Berita Harian X