Jumaat, 4 Disember 2015 | 12:09am

Hikmah al-Quran: Hikmah kurniaan rezeki berbeza

gn4id:10890443

FIRMAN Allah SWT: "Dan mereka berkata, Kami memiliki lebih banyak harta dan anak-anak (daripada kamu) dan kami tidak akan diazab." (Surah Saba', ayat 35)

Allah SWT menjelaskan, mereka yang mendustakan ayat-ayat Allah itu berasakan mereka tidak perlu beriman kepada Rasul kerana harta dan anak-pinak yang mereka miliki menjadi bukti Allah SWT mencintai mereka.

Orang seperti ini sebenarnya keliru antara pemberian Tuhan yang bersifat uluhiyyah dengan rububiyyah. Dengan sifat rububiyyah-Nya, Allah SWT mengurniakan nikmat-Nya tanpa mengira adakah dia mukmin yang patuh ataupun kafir yang ingkar.

Orang yang tidak beriman dengan apa disampaikan oleh Rasul itu berkata, bahawa mereka tidak akan diseksa kerana dikurniakan anak ramai dan harta yang banyak. Itu menunjukkan bahawa Allah cinta dan mengambil berat terhadap mereka.

Bagi mereka, tidak mungkin Allah SWT yang memberi nikmat akan memberikan azab kepada mereka di akhirat kelak. Sebenarnya, anggapan dan logik yang mereka guna itu benar-benar melampau dan jauh tersesat.

Firman Allah SWT: "Adakah mereka menyangka bahawa apa yang Kami berikan kepada mereka dari harta benda dan anak-pinak itu. (Bermakna bahawa dengan yang demikian) Kami menyegerakan untuk mereka pemberian kebaikan? (Tidak!) Bahkan mereka tidak menyedari (hakikatnya yang sebenar)." (Surah Al-Mukminun, ayat 55-56)

Iman, amalan soleh


IMAN dan amalan soleh mendekatkan diri kepada Allah SWT. - Foto hiasan

Hakikatnya, dalam kehidupan ini, kurniaan harta benda dan anak-pinak bukanlah penentu yang mendekatkan seseorang kepada Allah. Sebenarnya, iman dan amalan soleh yang mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW: "Di dalam syurga nanti terdapat bilik-bilik apabila berada di bahagian luar akan nampak bahagian dalam dan apabila berada di bahagian dalam akan nampak di bahagian luar. Salah seorang Arab Badwi bertanya: Untuk siapakah bilik-bilik itu? Rasulullah SAW menjawab: Untuk orang yang bercakap baik, memberi makan kepada orang miskin, sentiasa berpuasa dan melakukan solat malam ketika orang lain sedang lena tidur." (Riwayat Ibnu Hibban)

Banyak ayat al-Quran menggambarkan kecelaruan fikiran orang yang kufur kepada Allah ini. Firman Allah SWT: "Dan sebaliknya apabila dia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (ia tidak bersabar bahkan ia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: Tuhanku telah menghinakan daku." (Surah al-Fajr, ayat 16)

Sebenarnya Allah SWT melapangkan atau menyempitkan rezeki kepada siapa dikehendaki-Nya. Justeru, apabila seseorang dimurahkan rezeki bukan bermakna Allah SWT cinta kepadanya dan begitu juga apabila seseorang itu disempitkan rezeki, bukan kerana Allah benci kepadanya.

Ramai tidak memahami hikmah Allah mengenai perbezaan rezeki yang diberi kepada hamba-Nya menyebabkan mereka menjadi manusia yang waktu senangnya lupa kepada Allah dan apabila susah sentiasa merintih serta menyalahkan Tuhan yang Maha Esa.

Umat Islam dikurniakan Allah SWT dengan limpahan kekayaan, yang tidak memahami konsep rezeki itu datangnya daripada Allah SWT mempunyai dua penyakit. Pertama, mereka menjadi manusia bakhil dan mengabaikan hak Allah serta hak manusia dalam menguruskan hartanya.

Kedua, dia melakukan pembaziran dalam pemberian harta kepadanya dan membelanjakan harta itu untuk kesenangan peribadi, kemewahan keluarga tanpa had serta mengetepikan panduan syariah dalam membelanjakan hartanya.

Orang seperti ini cukup bimbang dan takut untuk membelanjakan harta mereka di jalan kebajikan. Mereka gusar akan berlaku kekurangan harta dan aset apabila dibelanjakan di jalan itu.

Belanja harta ke jalan Allah


BERBELANJA harta ke jalan Allah. - Foto hiasan

Sedangkan, dari dulu hingga kini tidak ada seorang pun yang hidup melarat dan papa-kedana kerana membelanjakan harta ke jalan Allah, membantu orang miskin atau mencukupkan keperluan orang memerlukan.

Bahkan mereka ini akan mendapat doa malaikat.

Semua ini berdasarkan sunnatullah berkaitan pencarian harta. Sesiapa yang menempuh jalan sesuai dengan sunnatullah, sudah tentu akan mendapat apa yang dicari. Sesiapa yang sesat jalan sudah tentu tidak memperoleh apa yang dicari.

Sebenarnya tidak ada hubungan antara kekayaan dengan kecintaan Allah SWT kepada hamba-Nya. Ia bukan sesuatu yang pelik apabila Allah SWT meluaskan rezeki kepada orang kafir yang derhaka atau mukmin derhaka kepada-Nya dan menyempitkan rezeki kepada orang patuh serta taatkan-Nya.

Allah SWT mentakdirkan semua itu sesuai dengan maksud dan hikmah-Nya yang tidak dapat diketahui hakikatnya oleh manusia. Rasulullah SAW bersabda: "Sekiranya dunia ini sama berat dengan sayap sekeor nyamuk sudah tentu (Allah) tidak akan memberikan walaupun seteguk air kepada orang kafir." (Riwayat Tarmizi)

Berita Harian X