Rabu, 2 Disember 2015 | 1:02pm

Bapa mangsa lemas kesal tidak endah anak lewat

SANAK saudara menangisi tiga kanak-kanak yang ditemui mati lemas di kolam takungan air di tapak pembinaan Taman Cahaya Baharu, Masai Pasir Gudang. - Foto BERNAMA
SANAK saudara menangisi tiga kanak-kanak yang ditemui mati lemas di kolam takungan air di tapak pembinaan Taman Cahaya Baharu, Masai Pasir Gudang. - Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU: Hamran Ali, bapa kepada seorang daripada mangsa lemas di kolam takungan air di kawasan tapak pembinaan di Taman Cahaya Masai dekat Pasir Gudang semalam, kesal kerana tidak mengambil endah kelewatan anaknya pulang dari kelas mengaji.

Bapa berusia 48 tahun itu berkata, anaknya Airil Iskandar, 8, pergi ke rumah guru mengaji kira-kira pukul 12 tengah hari dan menyangka anaknya masih di kelas berkenaan ketika hujan turun dengan lebat dua jam kemudiannya.

"Bagaimanapun, setelah beberapa jam hati saya gusar kerana Airil masih lagi tidak pulang ke rumah. Berikutan itu, saya menyuruh abangnya mencari di kawasan sekeliling termasuk di rumah cikgunya namun gagal menemukan Airil," katanya yang ditemui pemberita di Bilik Mayat Hospital Sultan Ismail (HIS) di sini malam tadi.

Hamran yang bertambah risau kemudiannya mencari mangsa di tempat-tempat lain sebelum dimaklumkan orang ramai bahawa rakan mengaji anaknya dijumpai di tempat kejadian tidak jauh dari kawasan rumah yang didiami.

"Tanpa berfikir panjang, saya bergegas ke tempat yang dimaksudkan dan setelah sampai, saya melihat joran dan selipar mereka," katanya,

Setelah gagal menjumpai Airil di sekitar kawasan kejadian, beliau kemudian menghubungi bomba untuk bantuan mencari.

Mayat Airil yang sudah dibedah siasat malam tadi akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Cahaya Masai, Pasir Gudang selewat-lewatnya selepas waktu Zohor hari ini.

Kejadian kira-kira 7 malam tadi itu turut mengorbankan dua beradik yang berkongsi tarikh lahir yang sama pada 7 Julai iaitu Hafiy Iman Hazrul Izwan, 8, dan Mikael Hazrul Izwan, 6.

- BERNAMA

Berita Harian X