Isnin, 30 November 2015 | 12:02am

Bangsa Melayu pelaut handal


MOHD Yusuf Abdullah berucap pada Bicara Dunia Melayu: Tradisi Pelayaran Melayu di Muzium Negara, Kuala Lumpur. - Foto Aziah Azmee

BANGSA Melayu dikenali sebagai pelaut yang handal sehingga sejarah merakamkan kisah tawanan Melayu, Panglima Awang atau turut dikenali sebagai Enrique menjadi sebahagian watak penting dalam pelayaran Ferdinad Magellan mengelilingi dunia.

Kehebatan bangsa Melayu sebagai pelaut itu diangkat dalam Bicara Dunia Melayu: Tradisi Pelayaran Melayu di Muzium Negara, Kuala Lumpur, baru-baru ini, malah bukan hanya terhad kepada ilmu pelayaran, bahkan seni pembuatan kapal.

Pengarah Muzium Terengganu, Mohd Yusuf Abdullah ketika membentangkan Orang Melayu dan Alam Kelautan berkata, dalam tradisi orang Melayu terdapat pelbagai jenis sampan, perahu dan jong yang mempunyai nama dan fungsi tersendiri.

"Ada sekitar 23 jenis perahu, sampan atau kapal bagi orang Melayu dengan antara yang popular ialah jong atau kapal besar yang selalunya digunakan untuk berdagang dan jalur iaitu perahu kecil yang sempit tetapi panjang digunakan di sungai.

"Selain itu, bedar biasanya digunakan untuk mengangkut barangan dan mempunyai layar sementara sekoci biasanya digunakan di pesisiran pantai.

Jarak tentukan jenis kayu

"Di alam Nusantara, terdapat pelbagai jenis kayu misalnya cengal, seraya, meranti, merbau, tempinis, penaga, kelat, melantai dan sentul yang digunakan dalam pembinaan kapal bergantung kepada jarak pelayaran," katanya pada acara anjuran Jabatan Muzium Malaysia.

Mohd Yusuf berkata, untuk pelayaran jarak dekat, biasanya perahu akan diperbuat daripada kayu meranti atau kelat, manakala bagi pelayaran jarak jauh perahu diperbuat daripada kayu cengal.

Beliau berkata, umumnya penduduk Tanah Melayu, membina kapal daripada kayu cengal. Bangsa Indonesia pula memilih kayu jati.

"Teknik pembuatannya juga berbeza kerana kayu yang hendak dibuat perahu perlu dilayur terlebih dulu dan teknik pembuatan ini masih boleh dilihat di Pulau Duyong, Terengganu.

"Kuala Terengganu pada abad ke-18 ialah pelabuhan antarabangsa. Banyak kapal keluar masuk sehingga tidak hairanlah orang Melayu meniru rekaan yang kapal yang berlabuh dengan mengubahsuainya mengikut kesesuaian," katanya.

Justeru, tegas Mohd Yusof, tidak hairanlah ada antara rekaan kapal orang Melayu ialah gabungan rekaan kapal pedagang dari China dan Inggeris.


AHMAD Jelani ketika membentangkan undang-undang Pelayaran Melayu pada Bicara Dunia Melayu: Tradisi Pelayaran Melayu di Muzium Negara, Kuala Lumpur. - Foto Aziah Azmee

Nakhoda gubal undang-undang

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Umum, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Ahmad Jelani Halimi, berkata banyaknya kapal digunakan pada abad ke-15 dan ke-16 menyaksikan keperluan wujudnya undang-undang laut.

Antara yang terkenal ialah Undang-Undang Laut Melaka yang ditulis pada zaman kegemilangan Melaka di bawah pemerintahan Sultan Mahmud Shah.

Ahmad Jelani ketika membentangkan Undang-Undang Pelayaran Melayu itu berkata, undang-undang laut di Melaka disusun oleh nakhoda sebelum dirujuk kepada sultan.

"Sebenarnya, undang-undang laut itu mempunyai 40 versi dengan orientalis seperti Windstead dan de Jong menggunakan 13 versi bagi menyusun naskhah yang kemudiannya dikenali sebagai Undang-Undang Laut Melaka.

"Sementara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pula menyelenggara penerbitan buku Undang-Undang Laut terbitan tahun 2005 yang diperoleh sumbernya dari Universiti Leiden di Belanda," katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Jelani berkata, hasil kajiannya ketika berada di Belanda menemukannya dengan dua manuskrip OR 3292 dan OR 3293 yang masing-masing merekodkan undang-undang perahu dan undang-undang belayar.


SEORANG peserta mengajukan soalan pada Bicara Dunia Melayu: Tradisi Pelayaran Melayu di Muzium Negara, Kuala Lumpur.

Undang-undang laut lengkap

"Kemungkinan besar kedua-dua naskhah ini disalin pada zaman Portugis di Melaka antara tahun 1511 - 1641. Namun, bezanya naskhah itu dengan Undang-Undang Melaka adalah ia mengandungi 65 fasal, manakala Undang-Undang Laut Melaka hanya 25 fasal," katanya.

Kedua-dua naskhah itu dihimpunkan dalam karyanya, Undang-Undang Laut Melayu: Undang-Undang Perahu dan Undang-Undang Belayar terbitan tahun 2013.

Tegas Ahmad Jelani, manuskrip itu membicarakan secara terperinci mengenai peraturan menumpang, menyewa, berdagang dan berkongsi dagangan yang dibawa dalam perahu serta jenayah yang dilakukan dalam pengangkutan itu, selain tugas dan tanggungjawab pegawai dan anak kapal.

"Disebabkan pelayaran mengambil masa yang panjang dan kapal Melayu terbabit dengan perdagangan, maka kewujudan undang-undang yang terperinci sangat penting dalam menjaga keselamatan serta kebajikan barang dagangan, anak kapal dan penumpang," katanya.

Ahmad Jelani berkata, penggubalan undang-undang laut oleh nakhoda juga menunjukkan kepercayaan tinggi yang diberikan oleh Sultan kepada nakhoda yang diibaratkan sebagai raja di laut.

129 dibaca
Berita Harian X